AGENDADAILY SEMASA Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan di dalam ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-57, beliau menyatakan klip video yang membabitkan manusia yang ditabal isterinya sendiri sebagai anugerah tuhan tidak boleh dijadikan bukti kerana “dia tidak ada telinga. Tak ada mata, macam besi”.
Ucapan itu disambut dengan takbir dan laungan oleh kaum yang menyokong. Langsung tak dengar kutukan atau kritikan, malah dikuliahkan, ditazkirahkan, sehingga dikhutbahkan “Amanat Baru Haji Hadi” itu!
Tiba-tiba bila saudara Miki melakar kenyataan itu dalam bentuk kartun dan disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia, muncul jaguh-jaguh kampung bertempik menuntut kartun itu ditarik balik, ia menghina Islam, kata mereka.
Malah ada minta supaya Miki dan Utusan Malaysia bertaubat. Yang Dipertua Persatuan Ulama, yang juga rakan baik Anwar Ibrahim, turut tumpang sekaki mendesak pelukis kartun dan akhbar Utusan dikenakan pertuduhan jenayah.
Padanlah Allah SWT mengingatkan kita di dalam surah Al A’raf:175-176, akan ada dalam kalangan mereka yang diberikan ilmu dan pengetahuan kitab (seperti para ulama), namun mereka bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya, maka Allah SWT umpamakan mereka seperti “Al-Kalb – Anjing-Anjing”!!! Dan Allah SWT menutup ayat tersebut dengan “sampaikanlah kepada mereka supaya mereka berfikir”!!! Dan inilah yang teman lakukan, teman nak sampaikan kepada anda semua yop akan peringatan Allah SWT.
Khusus kepada para agamawan dan ustazwan yang memekik ini, teman nasihatkan janganlah kerana ketaksuban kepada Anwar menyebabkan pertimbangan ilmu yang dianugerah Allah menjadi celaru.
Jadilah agamawan, ustazwan dan ilmuwan yang benar, berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kalau kartun lakaran Miki itu menyentuh kalbu, sepatutnya kenyataan Ustaz Abdul Hadi juga lebih-lebih lagi; kerana Miki tidak pakai serban, Ustaz Abdul Hadi pemimpin sebuah parti yang berpentaskan Islam!
Kepada jaguh-jaguh kampung yang tiba-tiba bangkit nak berjihad kerana kartun ini, cermin-cerminlah muka itu dulu. Cuba anda fikir sikit yop, apakah perlakuan dan perbuatan yang anda buat selama ini tidak menghina Islam, menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW dan sebenarnya menghina diri sendiri!
1. Anda meredai penyalahgunaan kalimah Allah untuk dicemari oleh segelintir Kristian, dengan alasan Kristian juga berhak menggunakan nama Allah walaupun dalam bentuk syirik dengan fahaman triniti. Kristian ini dipanggil kafir oleh Allah yop. Anda tahu pasal apa, pasal mereka menolak Allah Yang Satu, sebaliknya mempercayai Tuhan itu dalam bentuk triniti.
Bukan sahaja anda meredai kristian mensyirikkan kalimah Allah, anda putar habis ayat Quran hadis Nabi SAW untuk menghalalkan kekufuran itu.
Dan yang lebih teruk, anda maki-hamun pejuang dan pembela Islam yang mempertahankan kalimah Allah ini. Dan hari ini anda kata kartun itu menghina Islam! Apa anda semua dah hilang akal ke yop!!!
2. Anda meredai tuntutan seorang kafir harbi supaya perjuangan negara Islam dihapuskan dan dia beri amaran “langkah mayat dia dulu” kalau nak buat negara Islam. Belum pun si kafir harbi ini mati, anda semua mematikan perjuangan negara Islam anda. Dan anda hina Allah dan Rasulullah SAW dengan mendakwa rupa- rupanya dalam al-Quran tak ada sebut tentang Negara Islam.
Anda hina kawan anda sendiri Almarhum Ustaz Ibrahim Libya yang anda fatwakan mati syahid kerana memperjuangkan negara Islam. Anda hina ulama besar Datuk Dr. Haron Din yang bersusah payah menulis kitab “Ciri-Ciri Negara Islam”. Hari ini anda nak kata kartun itu menghina Islam! Apa anda ini semua dah hilang akal ke yop!
3. Anda meredai murtadnya seorang rakan sekutu Nor Azman Beginda, calon pilihan raya DUN Sarawak daripada PKR. Bukan sahaja murtad, dia benarkan anak dia membawa sosej babi ke sekolah. Bukan sahaja anda tiba-tiba menjadi syaitan bisu yang langsung tak bercakap, pejuang Islam yang menegur kemungkaran itu anda maki-hamun, sampai ada yang diancam! Hari ini anda nak kata kartun itu menghina Islam! Apa anda dah hilang akal ke yop!
4. Anda meredai orang yang menganut akidah pluralisme. Terang-terang mereka kata “semua agama sama, menuju ke arah yang sama”. Sedangkan anda semua diberi ‘ilmu oleh Allah, agama Islam itu haq dan benar, dimenangkan atas agama lain, walau kafir musyrik tidak suka. Allah tegaskan Islam untuk kita, kafir untuk kafir.
Tetapi tiba-tiba anda jadi syaitan bisu bila rakan sekutu anda mengisytiharkan Allah milik semua orang, sama ada dalam bentuk Esa atau dalam bentuk Triniti. Bahawa semua agama itu sama. Dan hari ini anda nak kata kartun itu tidak Islamik! Apa anda dah hilang akal ke yop!
5. Anda meredai seorang penentang Islam menjadi pemimpin anda untuk mengadakan himpunan haram. Orang yang anda sendiri lawan dahulu; orang yang menjuarai IFC, orang yang menyokong murtadnya Lina Joy, orang yang menghina Islam dengan forum “Masuk Islam”.
Dulu anda bersama teman sebaris di hadapan Majlis Peguam menentang. Dulu anda satu saf dengan teman di Masjid Wilayah dalam Himpunan Sejuta Umat menentang murtadnya Lina Joy. Anda rempuh forum IFC sehingga ada di antara anda masuk penjara. Anda isytihar jihad memerangi Majlis Peguam. Hari ini anda angkat kaum itu sebagai ketua anda untuk berhimpun secara haram. Dan anda nak kata kartun itu menghina Islam! Apa anda dah hilang akal ke yop!
6. Anda menentang fahaman syiah. Anda umum bahawa orang yang berfahaman syiah ini kafir, sesat. Malah semasa teman memuji Presiden Ahmadinejad dari Iran sebagai satu-satunya pemimpin Islam yang berani berhadapan dengan Amerika dan kafir barat la‘natullah, anda marah teman dan suruh teman kaji semula pendirian.
Tiba-tiba anda mengangkat kalangan idola syiah sebagai pemimpin. Anda kompangkan inilah pemimpin yang menjadi “Kabinet perang” ke Putrajaya. Anda telan habis apa yang anda ludah selama ini. Tiba-tiba kartun itu anda fatwakan menghina Islam! Apa anda dah hilang akal ke yop!
7. Anda bertakbir jihad bila isu video klip V.K Lingam meletus. Anda desak V.K Lingam dihukum. Bila Rahim Thamby Chik dituduh berzina dengan budak bawah umur, anda tanpa sebarang keraguan dan belum pun ada bukti, mengisytiharkan Rahim wajib dihukum.
Bila muncul video klip Chua Soi Lek, anda tanpa sebarang keraguan mengisytiharkan Soi Lek wajib letak jawatan dan dihukum.
Tiba-tiba muncul video klip manusia yang anda taksubkan, siap dengan jam Omega dan saksi yang bersama; terus anda fatwakan video klip itu besi, tidak boleh jadi saksi.
Anda terus fatwakan ini isu qazaf, anda putar habis dalam kuliah, tazkirah dan khutbah bahawa ini fitnah kabeer! Malah hingga anda fatwa wanita kena rogol, mangsa liwat juga kena bawa 4 orang saksi. Tiba-tiba bila kartun itu melakar kartunkan apa yang anda fatwakan; anda kata ia menghina Islam! Apa anda ini dah hilang akal ke yop!
Teman nak tutup yop dengan peringatan Allah di dalam surah Yasin (7-10) sebagai peringatan untuk teman dan semua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan:
“Demi sesungguhnya telah pasti berlaku ketentuan Allah terhadap kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mempercayai.
‘‘Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka, lalu tangan mereka terangkat ke dagu, sehingga mereka tengadah ke atas. Kami jadikan (ketaksuban mereka kepada dunia, habuan dan pangkat) sebagai dinding penghalang di hadapan, di belakang mereka dan Kami tutup mata mereka, sehingga mereka menjadi buta tidak melihat.
‘‘Sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu berikan peringatan atau tidak, mereka tetap tidak akan menerima kebenaran (dan mempercayainya serta beriman”.
Di bulan Rejab penuh sejarah, dari Isro’ wal Mi‘raj sehingga pembukaan Masjidil Aqsa oleh Sultan Salahuddin, teman mengajak diri teman dan anda semua supaya bertaubat dan beristighfar kepada Allah, mohonlah petunjuk dan hidayah, mohonlah keredaan dan keberkatan dan mohonlah dimasukkan ke dalam golongan yang beriman.
Jadikanlah peristiwa gerhana bulan pagi semalam sebagai pengajaran, jangan sehingga perjuangan kita untuk Islam berlandaskan al-Quran dan Sunah juga digerhanakan Allah SWT.
Janganlah kita ini muncul sekadar menjadi mujahidin dan ulama kartun je yop!!! Bila orang memperkartunkan sikap kartun anda, janganlah marah yop. Ambil itu sebagai peringatan untuk menyedarkan diri daripada kesesatan yang mungkin kita lakukan.
Sepatutnya anda semua bersyukur masih ada lagi dalam kalangan umat yang mahu menegur anda, dan Allah SWT masih memberi peluang kepada anda dengan peringatan demi peringatan. Yang baik itu daripada Allah, yang tidak itu kelemahan teman sendiri. Wallahua‘lam dan wassalam.