Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol lebuh raya tahun ini.
Beliau berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas perbincangan makmal dijalankan secara mendalam yang antara lain bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan beban pengguna.
“Tunggulah masanya…jangan hanya fikir macam seolah-olah kerajaan langsung tak sensitif terhadap masalah rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan persimpangan bertingkat Sungai Buaya di Plaza Tol Sungai Buaya dekat sini Khamis.
Najib berkata kerajaan sememangnya sentiasa peka dan prihatin terhadap setiap permasalahan rakyat dan ia terbukti dengan penangguhan kenaikan kadar tol sejak 2008 hingga 2013.
Menurut perdana menteri, bagi tempoh 2008 hingga 2011 kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM459 juta, 2012 (RM329 juta) dan 2013 (RM343 juta) kepada syarikat konsesi pengendali lebuh raya berikutan penangguhan kenaikan tol.
Najib berkata sekiranya kenaikan kadar tol pada tahun ini ditangguhkan, kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM404 juta.
Katanya selain menangguhkan kenaikan kadar tol, langkah lain yang turut diambil oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat termasuk mengurangkan kadar tol di beberapa plaza tol.
“Kerajaan juga turut menutup beberapa plaza tol dan menstruktur kadar tol di bawah Plus (Projek Lebuh Raya Utara Selatan) dan MTD (MTD Prime Sdn Bhd),” katanya.
Perdana menteri turut mempertikaikan tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak mengenakan kadar tol yang sama selama 30 tahun atau sepanjang tempoh konsesi yang menurutnya tidak masuk akal.
“Kalau kita buat macam ini kadar tol pada hari pertama mungkin tinggi.
“Sebaliknya kita kenakan tol rendah pada permulaan dan naikkan ikut kemampuan rakyat dari semasa ke semasa dan kita juga cuba perseimbang dengan pihak yang bina lebuh raya,” katanya.