KOTA SAMARAHAN 15 Jan. – Polis mengesahkan kematian penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang ditemui terapung dalam sungai dalam kawasan kampus itu tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat Siti Najwa Atiqah Azhar, 19, ditemui kira-kira 6 petang semalam selepas dilaporkan hilang sejak 4 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata, perkara tersebut disahkan hasil bedah siasat oleh doktor Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
“Laporan doktor menyatakan mayat pelajar berkenaan berada dalam keadaan reput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu.
“Mayat juga didapati sempurna, kecuali mempunyai luka-luka kecil dipercayai akibat digigit ikan,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, jenazah pelajar itu sudah dituntut anggota keluarganya dan difahamkan pihak Unimas membantu mengendalikan urusan menghantar jenazah pulang ke Pulau Pinang petang tadi.