DARO: Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa keempat tragedi bot panjang dinaiki 27 penumpang yang terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, tengah hari Sabtu.
Ketua Polis Daerah Matu/Daro, DSP Wagner Lisa Libut ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan berkata mayat Nursiah Abdullah, 45, ditemui pada 2.56 petang.
“Mayat keempat yang ditemui ialah wanita. Mayat ditemui di perairan berdekatan tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Daro untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kemalangan itu berlaku apabila bot panjang yang membawa 27 orang dari Kampung Tekajong pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai terbalik akibat dipukul ombak besar.
Enam belas lagi penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun berjaya menyelamatkan diri, empat wanita lemas, manakala tujuh lagi masih hilang.