Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti-parti sekutu dalam pakatan pembangkang memang telah membuat perancangan untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi memberi laluan kepadanya bertanding di kawasan itu.
Beliau berkata peletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh pada 27 Januari lepas juga dilakukan menerusi rundingan terlebih dahulu, dan bukan secara mengejut.
“Dia (Lee) meletak jawatan itu bukan tanpa rundingan. Dia letak (jawatan sebagai ADUN) itu memang nak bagi ruang kepada saya untuk bertanding. Kerajaan negeri Selangor juga mengetahui tentang perkara itu.
“Dalam politik kena ada kejutan, dan ini (peletakan jawatan Lee) dianggap sebagai satu strategi kita (Parti Keadilan Rakyat – PKR),” katanya kepada kira-kira 200 ahli jawatankuasa cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan cabang wanita di Yayasan An Nahdoh, Kubang Semang di sini malam Sabtu.
Anwar juga mengakui bahawa kerajaan negeri Selangor memang berhadapan dengan masalah dalaman tetapi ia dalam keadaan terkawal.
“Walaupun kerajaan negeri Selangor ditadbir dengan baik dari aspek urusan ekonomi, tetapi masalah gereja dan bible merupakan masalah yang paling berat di Selangor, jadi saya perlu bantu untuk selesaikan masalah itu,” katanya.
Anwar juga berkata beliau akan membuat penjelasan secara terperinci mengenai hasratnya bertanding di DUN Kajang Isnin ini, di Kajang bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Lee memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.