Ahli Parlimen Seputeh, Teresa kok menegaskan beliau tidak akan memohon maaf sekali gus mempertahankan video sempena Tahun Baharu Cina yang dilakonkannya hanya sebagai lawak jenaka yang disasarkan kepada kaum Cina.
Menurutnya, video sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu merujuk kepada isu semasa dan tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak.
“Minta maaf? Siapa makan cili dia terasa pedas.
“Video itu dalam dialek Mandarin dan Kantonis, saya tujukan untuk golongan yang faham bahasa itu.
“Saya juga hanya lakukan untuk tujuan lawak jenaka sempena Tahun Baru Cina, jangan serius sangat, ia hanya (watak) khayalan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Semalam, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengecam tindakan Teresa ekoran penerbitan video berjudul ‘Onederful Malaysia CNY 2014′ yang disifatkan berunsur hasutan, mengancam perpaduan dan keharmonian negara ini.
Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, pihaknya mengutuk tindakan Teresa itu yang dianggap biadab.
Mohd Razlan berkata, video berdurasi 11.39 minit itu mungkin dilihat sebagai jenaka oleh sesetengah pihak, bagaimanapun, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli Parlimen.
“Kami mengutuk video ini yang bersifat perkauman. Kami kecam video ini yang boleh menggugat keharmonian rakyat,” katanya.