Apabila pihak luar memuji Malaysia dan memberi penilaian baik terhadap negara, pembangkang langsung tidak berkongsi kebanggaan dengan seluruh rakyat. Namun, apabila terdapat kritikan atau laporan dan penilaian yang agak negatif, pembangkang begitu teruja dan dengan pantas sekali memetik serta mewar-warkannya. Contohnya, apabila agensi penarafan Moody memberi penilaian positif kepada Malaysia, tiada apa-apa komen langsung yang didengari dari pembangkang. Namun, semalam apabila saja kedudukan Malaysia jatuh dalam carta World Press Freedom 2014, riuh rendahlah pembangkang ‘meraikannya’.
Jelas, pembangkang tidak punya sifat patriotik dan sayangkan negara. Mereka lebih suka jika masyarakat antarabangsa melihat Malaysia sebagai tempat paling teruk di dunia. Justeru, mereka sanggup ke hulu ke hilir memburukkan negara sendiri cuba mengakibatkan ekonomi negara merudum agar dapat menyalahkan kerajaan. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya memburukkan diri mereka sendiri juga, apatah lagi dengan hakikat bahawa mereka turut menjadi pemerintah di beberapa buah negeri dalam negara ini.
Ini bermakna, pembangkang turut menyumbang kepada apa jua penilaian yang diberikan oleh pihak luar.
Dalam memperkatakan mengenai kebebasan media, di mana World Press Freedom telah meletakkan Malaysia di tangga ke 147 berbanding 145 pada tahun lalu dan 122 pada tahun 2011/2012, pembangkang tidak seharusnya mengelak dari turut memikul tanggungjawab.
Sejarah merekodkan bahawa pemimpin pembangkanglah yang paling gemar menyaman media, memboikot, malah membakar akhbar yang membuat laporan negatif terhadap mereka, walaupun laporan tersebut benar.
Sebaliknya, tidak ada dalam sejarah pemimpin kerajaan BN menyeru penyokong agar jangan membaca Harakah atau Roketkini atau Malaysiakini. Malah, syarikat yang ada kaitan dengan BN juga diketahui membeli ruang iklan dalam media pro-pembangkang. Jika ini bukan bukti keterbukaan BN, maka apakah ia?
Jika bukan kerana sikap terbuka BN terhadap media, maka kita tidak akan berhadapan dengan isu Kalimah Allah mahupun isu penghinaan melampau dari pihak bukan Islam terhadap Melayu/Islam. Lebih dahsyat, mereka dari kalangan bukan Islam juga kini begitu berani mengutuk Sultan dan Raja-raja Melayu. Namewee, Alvivi, Josephine Mary, malah penyanyi terkenal Francisca Peter bebas mengutuk dan menghasut orang ramai agar membenci atau prejudis terhadap kerajaan, Melayu dan Islam melalui laman sosial mereka. Jika ini bukan kebebasan media, maka apakah ia?
Tidak cukup dengan itu, kita juga mengesan beberapa media Kristian yang terang-terangan mengajak kepada ‘peperangan’ terhadap Islam seperti yang dilakukan oleh Perpaduan Anak Negeri Sabah (PAN). Dan bukan kita tidak tahu bagaimana media Kristian yang menjadi kontroversi, iaitu The Herald juga secara terbuka memainkan isu Kalimah Allah sebelum dan selepas isu itu diputuskan oleh mahkamah.
Bayangkan jika semua ini berlaku di negara lain, apakah ada harapan yang orang seperti Namewee atau Josephine Mary lepas bebas? Jika berlaku di negara lain, apakah penerbit atau pemilik akhbar The Herald boleh terus memanaskan isu di akhbarnya?
Tidak perlu berfikir terlalu jauh, cukup dengan membayangkan mereka ini sebagai bangsa Melayu yang melakukan perkara yang sama di Singapura dengan sasarannya ialah orang-orang Cina dan agama Kristian. Kita percaya nasib yang akan diterima mereka adalah sama dengan apa yang akan diterima sekiranya mereka melakukan perkara yang sama di Amerika Syarikat.
Seluruh dunia tahu dan mereka yang di belakang World Press Freedom juga tentu lebih tahu bahawa tiada negara di dunia yang akan melepaskan orang-orang yang menghasut ke arah perpecahan, perkauman dan melanggar undang-undang negara.
Satu-satunya sebab mengapa mereka-mereka ini masih lepas bebas, masih hidup senang lenang dan masih terus mengutuk dan menghina Melayu, Islam, kerajaan dan Sultan adalah kerana mereka berada di Malaysia dan bukan negara lain.
Hanya Malaysia yang membenarkan akhbar berbahasa ibunda kaum minoriti diedarkan. Hanya di Malaysia di mana akhbar-akhbar berbahasa ibunda kaum minoriti itu boleh mencetak bahan-bahan yang berbentuk hasutan agar membenci dan meragui kerajaan, serta memperjuangkan perpecahan total masyarakat melalui sekolah berasingan antara kaum. Hanya di Malaysia kaum minoriti ini dibenarkan berbuat apa saja dan berkata apa saja di dalam apa jua bentuk media massa dan masih diberi tempat di dalam kabinet.
Ironi sekali, dalam keterbukaan kerajaan Malaysia terhadap media, pemimpin pembangkang pula mengugut untuk menyaman akhbar, hanya kerana wartawannya bertanya. Siapa yang boleh lupa dengan fenomena “You ulang I saman” Anwar Ibrahim di mana Anwar mengugut wartawan hanya kerana bertanya. Apa jenis kebebasan media yang dibobrokkan pembangkang jika bertanya pun boleh kena saman?
Kesimpulannya, Malaysia tidak perlu begitu mengambil pusing dengan penilaian yang diberi oleh agensi-agensi asing. Kemajuan Malaysia tidak pernah bergantung kepada penilaian pihak luar. Malah, pada suatu ketika, Malaysia pernah berada di puncak walaupun pihak luar menghentam negara ini dari segenap arah.
Penilaian yang diberikan pihak luar berkemungkinan mempunyai agenda tertentu dan tidak semestinya tepat. Baik atau buruk prestasi Malaysia dalam apa jua bidang adalah bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan, bukan kepada penilaian orang asing.