Bermacam-macam teori dikemukakan dalam memperkatakan kemelut dalam kerajaan Selangor, khasnya, dan PKNS serta anak syarikatnya, PKNS Holdings Sdn Bhd.
Pemecatan Azmin Ali dari Lembaga Pengarah PKNS dikatakan menjadi punca segala rahsia dan kotoran di dalam PKNS kini terbarai apabila kedua pihak yang diketahui umum sebagai ‘berseteru’, iaitu Azmin dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, cuba membela diri masing-masing dari pandangan buruk rakyat.
Selain pertelingkahan mereka, keseluruhan parti PKR dan juga gabungan Pakatan Rakyat juga terpaksa berhadapan dengan kecaman rakyat apabila seramai 22 pegawai PKNS dipecat tanpa sebab berikutan kemelut Azmin-Khalid.
Walaupun pada dasarnya Azmin dan Khalid tidak mengakui yang mereka mempunyai sebarang masalah, namun semuanya semakin jelas apabila kelemahan dan keburukan masing-masing terdedah berikutan kemelut di dalam PKNS. Pendedahan ‘ekslusif’ sebegitu pastinya dilakukan gerak-kerja para tentera siber masing-masing untuk menjaga air muka Tuan-tuan mereka sekali gus membuktikan yang mereka benar-benar sedang bertelingkah.
Sebelum ini kita difahamkan bahawa pemecatan Azmin adalah berpunca dari tekanan dari DAP. Menurut sumber, Azmin telah membawa masuk orang-orangnya sendiri bagi mengekang amalan kronisme DAP di dalam PKNS di mana hampir semua projek diberikan kepada kontraktor DAP. Justeru, Khalid telah diarahkan oleh DAP agar memecat Azmin dan semua staff yang ‘tidak boleh dipercayai oleh DAP’ bagi membolehkan parti chauvinis Cina itu meneruskan agendanya untuk menghalau Melayu dari kawasan bandar melalui projek-projek hartanah mewah.
Pemecatan Azmin tidaklah begitu mengejutkan dan disambut selamba oleh rakyat. Namun begitu, pemecatan 22 orang kakitangan PKNS menyebabkan Khalid dikecam keras sebagai penindas dan tidak berhati perut. Khalid terdesak untuk membersihkan namanya.
Khalid akhirnya melihat peluang untuk mengenakan Azmin melalui laporan kewangan PKNS yang memperlihatkan ketirisan yang teruk. Beliau kemudiannya mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas yang dilantiknya sendiri untuk memantau perbelanjaan PKNS dan PKNS Holdings. Jawatankuasa itu bertanggungjawab memantau peruntukan untuk bola sepak RM9 juta setahun, pembangunan usahawan RM5 juta setahun dan tanggungjawab social korporat (CSR) RM30 juta setahun.
Pada 31hb Julai 2013, iaitu ulangtahun ke 49 PKNS, Pengurus Besarnya, Othman Omarmengumumkan bahawa perbadanan itu telah membelanjakan RM240.6 juta sejak 2008 sehingga 2012 bagi memenuhi CSR. Oleh kerana PKNS membeli tanah pada harga pasaran seperti pemaju swasta lain, perbadanan itu telah menggunakan peruntukan CSR untuk membina rumah mampu milik di sekitar Selangor.
Menurut sumber lain termasuk laporan akhbar, PKNS telah membelanjakan sejumlah RM1.1 billion dalam bentuk subsidi untuk memenuhi tuntutan CSR bagi membina lebih kurang 12,000 rumah mampu milik tersebut. Dalam satu laporan lain pula, iaitu pada Mac 29, 2013 PKNS mengumumkan pembinaan 31,000 unit rumah mampu milik di sekitar Selangor. Pada November 2013, hanya 1,682 dilaporkan siap dibina.
Tidak dapat dipastikan apakah projek ini juga diperolehi oleh ‘kroni DAP’ seperti yang dispekulasikan ramai dan tidak dapat dipastikan juga jumlah mana dari laporan yang berbeza-beza di atas yang betul, dan apakah keseluruhan peruntukan CSR digunakan untuk projek perumahan semata-mata.
Jika ya, tentulah ia satu kerugian bagi rakyat Selangor kerana dana tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk program-program lain juga. Dan jika tidak pula, apakah butiran terperinci perbelanjaan CSR dan juga projek perumahan?
Jika PR ingin dilihat telus, maka dua perkara inilah yang perlu diberi penekanan.
Selain peruntukan CSR, PKNS juga dikatakan telah membelanjakan sehingga RM40 juta untuk bola sepak sahaja. Perbelanjaan untuk bola sepak Selangor dikatakan terus meningkat sejak PR mengambil-alih kerajaan sehinggakan pada hari ini, jumlah itu telah mencecah sehingga RM10 juta untuk setahun walaupun peruntukan yang diberikan hanyalah RM9 juta setahun. Untuk pengetahuan, peruntukan bagi bola sepak di era pemerintahan BN hanya berjumlah RM2.5 juta sahaja.
Peruntukan untuk pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun dilihat sebagai terlalu lebih kecil berbanding bola sepak. Rakyat juga tertanya-tanya, apakah membentuk pasukan bola yang handal adalah lebih bermanfaat dari membentuk usahawan berjaya bagi membantu ekonomi bumiputera? Dan berapa ramaikah usahawan telah dibantu melalui peruntukan ini?
Semua persoalan ini membuktikan bahawa PR tidak mampu menguruskan walaupun sebuah syarikat biarpun ia merupakan syarikat di bawah kerajaan negeri yang paling kaya.
Mungkin wang yang begitu banyak sehingga tidak dapat ‘dikesan’ inilah yang membuatkan Anwar Ibrahim begitu teruja untuk menjadi Menteri Besar Selangor.