Harga sekilogram ayam bersih super dilapor serendah RM6.99 di pasaraya The Store di Sungai Buloh semalam, demikian menurut portal www.1pengguna.com hari ini.
Harga itu lebih rendah berbanding pasar harian Selayang yang menjual ayam berkenaan pada harga RM8.30 sekilogram.
Portal berkenaan turut menyenaraikan harga bagi ayam bersih super yang dijual di beberapa pasar raya lain termasuk Pasaraya Hero di Bandar Sri Permaisuri (RM7.79 sekilogram), Pasaraya UO Chow Kit (RM8.30 sekilogram) dan Cold Storage Great Eastern Mall, Jalan Ampang (RM11.90 sekilogram).
Di Seremban, ayam sama dijual pada harga RM7.50 di The Store Centrepoint.
Sementara di Johor Bahru, tiga buah premis iaitu Giant Southern City, Giant Leisure Mall dan Cold Storage Plaza Pelangi menjual ayam tersebut pada harga RM8.29 sekilogram.
Harga ayam bersih standard menjadi carian paling popular dalam kalangan pengguna portal tersebut hari ini.
Turut popular ialah pencarian mengenai harga ikan kembung hitam/hijau saiz sederhana yang hari ini disenarai serendah RM2.30 sekilogram, sotong putih saiz sederhana (RM2.50) dan ketam renjung bunga saiz sederhana (RM5).
Portal www.1pengguna.com merupakan portal kepenggunaan interaktif dan berinformasi bertujuan memberi manfaat kepada pengguna dalam mendapatkan panduan kepenggunaan.
Berdasarkan statistik yang dipaparkan dalam portal tersebut lebih 40,000 pengguna melayari portal berkenaan pada minggu ini.