PUTRAJAYA: Dua warga asing yang ditahan polis Sabtu lalu bersama-sama 30 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) kini dalam proses untuk dihantar pulang ke negara masing-masing, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Siasatan polis mendapati, terdapat individu dan NGO yang telah mempergunakan perhimpunan haram Bersih 2.0 untuk kepentingan diri dan juga ideologi politik masing-masing.
“Saya percaya, pihak penganjur perhimpunan ini tidak pun sedar akan situasi ini. Mereka telah memulakan sesuatu yang kini tidak dapat mereka kawal dan menyimpang dari tujuan asal mereka untuk menuntut proses pengundian yang adil dan telus di negara ini,” kata Hishammuddin kepada para pemberita ketika ditemui di sini satu pameran di sini.
Beliau berkata, mereka yang mendakwa diri sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu dikatakan terlibat dengan kumpulan berkenaan dan kerajaan akan menghubungi negara asal kedua-dua warga asing itu sebelum dihantar pulang.
“Sekarang ini ada warga asing lain yang terlibat dengan NGO antarabangsa telah pun kita tahan dan sedang dalam proses pengusiran balik ke negara asal,” katanya.
Hishammuddin berkata siasatan akan dijalankan dan rundingan dengan negara-negara berkenaan akan dibuat melalui saluran diplomasi, saluran risikan dan keselamatan.
“Jadi jangan memandang rendah kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasat serta memantau dan mengetahui gerakan yang berjalan di bawah, jangan sesekali beranggapan PDRM tidak tahu keadaan sebenar di luar,” katanya.
Pada Sabtu lepas Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj bersama 30 lagi individu ditahan ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth ketika dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pulau Pinang kerana memiliki dokumen serta bahan-bahan yang boleh dianggap sebagai percubaan mempromosikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM)seperti Chin Peng dan Rashid Mydin.
Wajah pemimpin-pemimpin komunis itu dicop pada helaian kemeja-t dengan kata-kata “Kesatria Chin Peng” dan “Kesatria Rashid Mydin”.
Dalam satu perkembangan lain, Hishammuddin berkata satu lagi inisiatif baru mengenai kerjasama dengan kerajaan Bangladesh berhubung isu pemerdagangan manusia akan diumum esok.
“Perkara itu ada kaitan dengan pekerja-pekerja Bangladesh yang ada di negara ini. Kaedah bagaimana kehadiran warga itu dapat ditangani dengan baik supaya mereka tidak dieksploitasikan dan diambil kesempatan oleh pihak tertentu khususnya sindiket antarabangsa,” katanya.