KETUA Polis Negara Tan Sri Ismail Omar petang Rabu mendedahkan hasil risikan dan taksiran keselamatan PDRM, sekiranya perhimpunan haram Bersih diadakan juga, situasi itu boleh mencetuskan ketegangan, huru hara, kemusnahan harta benda, kecederaan malah mungkin mengakibatkan kehilangan nyawa.
Hasil risikan juga mendapati ada usaha pihak tertentu dan anasir-anasir asing yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi keadaan ekoran perhimpunan haram haram di beberapa lokasi di ibu negara pada 9 Julai ini.
“Dengan menilai kepada fakta-fakta dan keadaan semasa, situasi kini juga mempunyai potensi dan keberangkalian yang dominan untuk menganggu kehidupan masyarakat negara ini yang aman damai,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di Ibui pejabat Polis Bukit Aman, Ismail menegaskan, situasi demikian jika tidak ditangani dengan segera dan berkesan, ianya boleh menjejaskan kenteteraman awam dan keselamatan negara.
Katanya, polis tidak akan membenarkan mana-mana individu atau pihak tertentu mengambil tindakan yang boleh mencetuskan huru hara dan anarki berdasarkan undang-undang yang ada.
Ismail menegaskan, polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan dan menyertai perhimpunan haram itu
Menurutnya, beliau akan menggunakan segala kuasa yang ada selain maklumat diperolehi untuk bertindak menghalang pihak terbabit mencetuskan huru hara.
Diminta mengulas sama ada anasir asing itu ada kaitan dengan pihak tertentu termasuk parti politik di negara ini dan yang menganjurkan perhimpunan haram itu, Ismail menjelaskan, beliau tidak boleh mendedahkan perkara itu kerana ianya adalah kegunaannya untuk bertindak.
“Saya memantau setiap kata-kata, tindakan dan perbuatan semua orang. Saya ingin peringatkan, jagalah jangan kata-kata dan perbuatan itu supaya tidak tergolong yang boleh mencetuskan orang bergaduh,” ujarnya.
Dalam sidang media itu, Ismail mengesahkan polis menyerbu pejabat Bersih di Petaling Jaya, petang tadi.
Seramai tujuh orang ditahan dan 540 t shirt Bersih pelbagai warna dirampas.
Selain itu katanya, sejak 6 Jun hingga semalam, 1,830 laporan polis dibuat pelbagai pihak yang menentang perhimpunan haram tersebut.
Manakala sejak empat hari lalu, 101 ditangkap dengan 45 daripadanya masih ditahan atas pelbagai kesalahan berkait perhimpunan itu.
Ismail berkata, polis sudah memanggil beberapa pihak yang mahu terbabit dengan perhimpunan pada 9 Julai dan memberi ingatan kesan yang bakal dihadapi jika perhimpunan itu diteruskan juga dan jangan membelakangkan undang-undang dalam tindakan masing-masing.
Ditanya cakap-cakap pembangkang, kononnya polis akan isytihar darurat pada 9 Julai jika perhimpunan itu diadakan, Ismail berkata, semua pihak boleh buat andaian masing-masing.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi memberi amaran jangan sampai ada kata-kata dan tingkah laku boleh mengundang tindakan daripada pihak polis.
Katanya, ini termasuk tidak memilih sesiapa saja sama ada mereka berpangkat atau tidak.
“Jangan pula ada yang berselindung disebalik peraturan atau undang-undang. Polis akan bertindak ikut moto Tegas, Adil dan Berhemah,” katanya.-29/6/2011