PUTRAJAYA: Surat mengandungi baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 telah dihantar kepada mereka yang masih belum menerimanya menerusi bank, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata antara punca mereka gagal menerima BR1M ialah kerana tidak mengemas kini maklumat peribadi, nama dalam kad pengenalan tidak sama dengan nama dalam akaun bank dan mereka didapati tidak layak menerimanya berdasarkan pendapatan bulanan mereka.
“Surat berkenaan mengandungi surat jawapan sama ada mereka layak atau tidak layak menerima BR1M. Sekiranya berjaya, mereka akan menerima baucar BR1M,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi MyResults di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata mereka yang gagal menerima BR1M boleh membuat rayuan dengan merujuk ke laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di www.hasil.gov.my atau pergi terus ke pejabat LHDN yang terdekat.
Beliau berkata BR1M bukan pembaziran wang kerajaan tetapi ia bertujuan membantu rakyat dalam mengurangkan bebanan mereka berikutan kos sara hidup yang tinggi sekarang.
Mengenai aplikasi MyResults yang menyokong pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB), Husni berkata ia akan digunakan di kesemua kementerian menjelang 2016.
Beliau berkata penggunaan aplikasi itu bertujuan mengintegrasikan perbelanjaan pembangunan dan operasi dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan dan pelaksanaan program di setiap kementerian.
OBB, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga dapat menyelesaikan masalah pertindihan pelaksaaan projek dan program antara jabatan dan agensi kerajaan serta memastikan sumber diagih mengikut keutamaan tertinggi negara, katanya.
Sehingga kini, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan telah menggunakan aplikasi itu disusli kementerian lain secara berperingkat.
“Ketua Setiausaha di setiap kementerian akan berperanan sebagai pengawal dan ketua dalam OBB,” katanya.
Husni berkata aplikasi MyResults itu dibangunkan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Century Software (M) Sdn Bhd (Censof) dengan kerjasama MIMOS Bhd, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).