KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada Khamis merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sudi menerima kunjungannya dalam satu pertemuan yang diadakan pada 28 Nov lalu.
Ahmad ketika mendedahkan butiran dalam pertemuan itu berkata banyak yang dibangkitkan demi kepentingan rakyat Kelantan seperti masalah migrasi air, soal berkaitan pengagihan royalti petroleum sehinggalah kepada pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
“Saya amat berterima kasih kerana Perdana Menteri sudi menerima kunjungan dan diberi peluang (untuk bertemu). Ini semua untuk kepentingan rakyat Kelantan.
“Banyak perkara yang telah kami bincangkan,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Darul Naim di sini.
Ahmad berkata mengenai hukum hudud, terdapat beberapa perkara yang positif dan Najib telah meminta perkara itu diperbincangkan di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).
Mengulas lanjut Ahmad berkata antara perkara lain yang dibangkitkan adalah pengagihan royalti minyak, permohonan pembinaan lebuh raya, pembinaan Jambatan Palekbang di Kampung Cina di sini dan menaik taraf beberapa projek pembangunan.
“Insya-Allah dengan kerjasama kedua-dua pihak (kerajaan pusat dan negeri)akan mempercepatkan kemudahan ini dilaksanakan di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad memberi jaminan akan mengkaji dengan teliti permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) agar tidak lagi meluluskan penukaran status tanah pertanian kepada perumahan.
Katanya, kerajaan negeri sedar jika perkara itu berterusan sudah tentu hasil pertanian terutama hasil beras negara semakin berkurangan sekiranya status tanah pertanian itu ditukar.
“Saya setuju dengan permohonan KADA itu dan berharap pihak berkuasa tempatan akan memantau dan tidak lagi memberi keizinan untuk penukaran status itu lagi,” katanya.Persidangan ditangguhkan kepada satu tarikh lain.