Entah drama apa yang dilakonkan oleh Anwar dan Wan Azizah dalam pemilihan PKR yang bakal berlangsung tidak lama lagi apabila kedua-duanya bakal bertanding merebut kerusi Presiden PKR. Selama ini, walaupun Wan Azizah merupakan Presiden parti, tetapi ‘tugas’ beliau hanyalah memberi laluan kepada Anwar apabila perlu, selain menjadi simbol atau bayang-bayang kepada suaminya itu.
Wan Azizah terkenal sebagai seorang Presiden yang langsung tidak berfungsi di mana kewujudannya atau ketiadaannya, tidak membawa apa-apa makna kepada parti. Beliau tidak punya suara dan tidak mampu membuat keputusan atas apa-apa juga permasalahan parti. Beliau juga tidak terlibat dalam menentukan hala tuju serta strategi parti.
Justeru, keputusan beliau untuk mempertahankan jawatan Presiden dan berhadapan dengan suaminya sendiri amatlah menggelikan hati, kalau pun tidak menjelekkan. Ramai yang melihat lakonan atau politiking di dalam PKR sudah mencapai tahap yang tidak masuk akal iaitu merepek sama sekali.
Umum tahu bahawa Wan Azizah adalah wakil Anwar dalam politik. Wan Azizah tidak punya ‘kapasiti’ sendiri, dan mungkin juga sudah tidak memiliki dirinya sendiri. Beliau menjadi milik Anwar secara mutlak dan tidak lagi mampu menjalani kehidupan mengikut kehendak hati.
Oleh itu, sekiranya kedua-duanya bertanding merebut jawatan Presiden parti, maka siapapun yang mendapat undi terbanyak, pemenangnya tetap Anwar, bukan Wan Azizah.
Hakikatnya, pertandingan antara kedua mereka hanyalah untuk mengaburi mata sibuta kononnya demokrasi di dalam PKR segar bugar dan terpelihara. Walhal, demokrasi apa jika sibayang-bayang berlawan dengan tuannya?
Nampaknya, strategi PKR kini hanyalah untuk menguatkan penguasaan Anwar Ibrahim di dalam parti, negeri Selangor dan seterusnya Pakatan Rakyat sebagai persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan dari keputusan rayuan kes liwat. Strateginya ialah memastikan penguasaan ke atas jawatan Menteri Besar dan di masa yang sama ‘menyelamatkan’ kerusi Presiden agar turut tidak terlepas dari penguasaan Anwar. Dengan cara ini, sekiranya Anwar ke penjara sekali pun, beliau tetap menjadi tonggak kuasa parti dan juga negeri.
Anwar dikatakan sedang berusaha ‘melindungi’ dirinya dari Azmin dan juga Khalid Ibrahim yang sama-sama rakus akan kuasa. Justeru, Anwar perlu ‘menggunakan Wan Azizah sepenuhnya’ demi kesinambungan hayat politiknya.
Biarpun selama ini Anwar mencurahkan kasih sayang yang lebih kepada Azmin, tetapi akhirnya beliau mencurahkan kepercayaan total hanya kepada Wan Azizah. Ternyata isterinya itu sentiasa setia menjadi boneka, bayang-bayang mahupun tunggul atau apa saja, pada bila-bila masa mengikut keperluan dan kehendaknya.
Jika pemilihan DAP memperlihatkan ketidakcekapan dan rasisme yang kronik, maka pemilihan PKR pula bakal menyaksikan amalan nepotisme dan sifat pentingkan diri yang sama kronik.