IA adalah perlawanan yang penuh dengan pertimbangan taktikal.Manchester United yang menerima kedatangan Bayern Munich dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Liga Juara-Juara Eropah pada malam Isnin sememangnya bermain dalam penuh tekanan tetapi berjaya mengekal permainan pantas lawan mereka itu yang berakhir dengan keputusan 1-1.
Bayern Munich kembali ke Allianz Arena dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan. Tetapi pada masa yang sama mereka juga kehilangan tiga pemain utama dalam perlawanan kedua nanti.
Bastian Schweinsteiger, yang menerima kad merah di minit-minit terakhir dan pemain pertahanan Javi Martinez, yang menerima kad kuning juga akan terlepas perlawanan Rabu depan dan begitu juga Mandzukic.
Ini bermakna seri tanpa jaringan di Munich minggu depan sudah memadai buat United mara ke separuh akhir.
Tetapi pasukan bimbingan Pep Guardiola jarang-jarang bermain dengan margin yang rendah. Mereka sentiasa menang besar musim ini.
Kini mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.
Untuk United pula, perlawanan ini yang dari sudut statistiknya amat berat sebelah dengan Bayern menguasai bola sebanyak 70 peratus, maka seri membawa makna kemenangan. Mereka turun ke padang sebagai pasukan underdog, tidak seperti mana di era kegemilangan dahulu.
Malah tiada siapa yang memberikan harapan kepada David Moyes untuk menang.
Jadi apabila kapten pasukan Nemanja Vidic menanduk masuk gol pada minit ke-58, menerusi sepakan sudut Wayne Rooney ia sudah memadai membawa senyuman di wajah semua peminat United.
Vidic meluru ke arah pintu gol bukan sahaja tanpa dikawal malah ketinggiannya adalah satu kelebihan dalam situasi hantaran bola mati.
Sayang sekali kegembiraan tersebut hanya bertahan kurang lebih sepuluh minit sahaja kerana selepas itu United dihukum dengan gerakan kilat Arjen Robben di sebelah kanan yang melorongkan bola kepada Raffinha yang berlari pantas memotong semua pertahanan United dan hantaran silangnya menemui pemain gantian Mario Mandzukic yang terpaannya membolehkan Schweinsteiger menjaringkan gol yang tidak mungkin dapat diselamatkan oleh sesiapa pun.
Nasib juga menyebelahi United. Franck Ribery dan Muller tidak langsung menyerlah dalam perlawanan ini dan mereka berharap minggu depan, sekali lagi dengan beberapa pemain Bayern digantung permainan dan mengalami kecederaan, mereka boleh mengharapkan keajaiban sekali lagi menjelma sepertimana mereka menang 2-1 di saat-saat akhir dalam final menentang pasukan yang sama pada 1999.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan suku akhir Barcelona dan Atletico Madrid juga seri 1-1 dalam perlawanan yang penuh dengan layangan kad kuning (8) dengan Diego serta Neymar menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing.
Manchester United: De Gea, Jones, Ferdinand, Vidic, Buttner (Young 74), Valencia, Carrick, Fellaini, Giggs (Kagawa 46),Rooney, Welbeck (Hernandez 84).
Simpanan tidak digunakan: Lindegaard, Nani, Fletcher, Januzaj.
Kad Kuning: Valencia. Gol: Vidic 58.
Bayern Munich: Neuer, Rafinha, Javi Martinez, Boateng, Alaba, Robben, Lahm, Schweinsteiger, Ribery, Kroos (Gotze 74), Muller (Mandzukic 63).
Simpanan tidak digunakan: Starke, Van Buyten, Shaqiri, Pizarro, Hojbjerg.
Kad Merah: Schweinsteiger (90).
Kad Kuning: Schweinsteiger,Mandzukic,Javi Martinez.
Gol: Schweinsteiger 67.
Jumlah Penonton: 73,000.
Stadium: Old Trafford, Manchester.