Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memenuhi hampir kesemua kehendak AirAsia Bhd untuk syarikat itu beropearsi dari terminal penerbangan tambang rendah baharu, klia2.
Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) MAHB Datuk Azmi Murad berkata syarikat penerbangan tambang rendah – yang enggan berpindah ke klia2 dengan memberi pelbagai alasan, termasuk keselamatan – merupakan antara penerima manfaat terbesar apabila beroperasi di klia2.
Antara beberapa perkara yang dikehendaki AirAsia dan tidak dipenuhi MAHB ialah spa dan muzium, katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Berikutan operasi penerbangan di klia2 bermula pada 2 Mei dan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baharu itu.
Azmi berkata, pemindahan ke klia2 sudah dipersetujui semua pihak, termasuk Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Polis serta pihak berkuasa kesihatan.
AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, dijangka menggunakan 80 peratus lapangan tebang baharu di Sepang.
Rabu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan LCCT akan ditutup pada 9 Mei, namun AirAsia menyuarakan rasa tidak puas hatinya dan tidak bersetuju berpindah ke lapangan terbang baharu itu kecuali beberapa kehendaknya ditangani.
Ia termasuk fungsinya serta jaminan keselamatan.
Menurut Azmi, MAHB sudah melaksanakan Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), ujian bagi menguji aspek fungsi dan operasi sejak awal Februari dan “kami sangat berpuas hati”.
Berharga RM4 bilion, beliau berkata klia2, yang akan mengendalikan kira-kira 45 juta penumpang setahun dan disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), “bukan lapangan tebang kos rendah namun syarikat-syarikat yang menggunakannya membabitkan penerbangan kos rendah.”
Mengenai kebimbangan yang dibangkitkann oleh AirAsia dari segi keselamatan di klia2, Azmi berkata klia2 lebih selamat berbanding LCCT memandangkan ia akan melaksanakan sistem pemprosesan penumpang seragam oleh SITA — penyedia utama dunia bagi penyelesaian perniagaan IT bersepadu.
Beliau berkata AirAsia tidak mahu menggunakan sistem SITA yang digunakan oleh operator-operator lapangan terbang dan menjadi pilihan semua syarikat penerbangan, sebaliknya mendesak untuk menggunakan sistem pemeriksaan masuk secara manual.
“Kita tidak boleh membandingkan klia2 dengan apa yang diguna pakai untuk operasi di LCCT, kerana lapangan terbang itu adalah lapangan terbang manual sepenuhnya, dengan pengurusan lapangan terbang dilakukan secara tradisional.
“Namun berdasarkan kapasiti penumpang yang besar yang dijangka dikendalikan oleh klia2, agak mustahil untuk beroperasi secara manual seperti dulu,” katanya dan menambah sistem SITA memberikan kemudahan dari segi kesinambungan perniagaan dan fleksibiliti di kaunter-kaunter di klia2.
Mengenai jambatan udara yang didakwa AirAsia sebagai membazir, Azmi berkata, kemudahan itu penting untuk penumpang — terutama bagi penumpang yang menghadapi masalah fizikal, warga tua dan ibu yang mempunyai anak kecil serta kanak-kanak.
Ia juga sangat penting ketika cuaca buruk seperti hujan lebat atau ketika panas terik.
Beliau berkata caj semasa ke atas lapangan terbang untuk penggunaan jambatan udara itu hanya RM85.00 sekali guna. Berdasarkan pesawat A320 yang membawa 180 penumpang semasa ketibaan atau berlepas, kos penggunaan kemudahan itu kurang daripada 25 sen bagi seorang penumpang.
Kadar yang dikenakan oleh MAHB untuk jambatan udara itu antara yang terendah di rantau ini.
Beliau berkata MAHB sentiasa menerima maklum balas daripada orang ramai supaya semua syarikat penerbangan menggunakan jambatan udara untuk keselesaan penumpang.
“Servis jambatan udara itu akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna, dan saya difahamkan syarikat penerbangan yang lain mahu menggunakan kemudahan berkenaan.
“Sekiranya ada syarikat penerbangan yang mahu pengguna mereka berjalan kaki, itu terpulang kepada mereka kerana mahu atau tidak, kami tetap sediakan (servis jambatan udara),” katanya sambil menambah, MAHB turut menawarkan perkhidmatan bas.
AirAsia Perlu Pindah Ke KLIA2 9 Mei Ini – PM
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia perlu berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seperti yang telah dijadualkan iaitu pada 9 Mei.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung perpindahan itu.
“Sebagai sebuah kerajaan kita perlu meneliti apa sebab kalau ada perkara yang mereka (AirAsia) fikir keberatan untuk berpindah tetapi yang saya mahu tekankan adalah dialog mereka dengan pihak kerajaan iaitu MAHB untuk mencari penyelesaian di atas kepentingan bersama.
“Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu dilihat macam ‘arrogant statement’ (kenyataan berbaur angkuh) tapi kalau mereka kata mereka ada sebab dan mereka mahu berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu adalah lebih sesuai lagi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain-pemain industri Malaysia dan Vietnam, di sini Sabtu.
Najib berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam yang berakhir hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan syarikat penerbangan itu baru-baru ini yang enggan berpindah ke KLIA2 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), ekoran kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.
Perdana Menteri berkata sepatutnya syarikat itu perlu mengemukakan sebarang kemusykilan dan masalah mereka tentang perpindahan itu pada peringkat awal dan bukannya pada peringkat yang mana KLIA2 sudah siap.
“Sekarang KLIA2 dah hampir siap, kita tidak boleh berpatah balik dan mereka (AirAsia) tidak boleh mengatakan ‘kita tidak mahu berpindah’ kerana mereka perlu berpindah ke sana,” katanya.
Najib berkata kerajaan telah pun melantik jururunding bebas iaitu Ikram Premier Consulting untuk menilai tahap keselamatan KLIA2, dan apabila jururunding berkenaan telah membuat keputusan secara objektif, maka semua pihak perlu menerima.