Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan orang awam berkaitan dengan produk tidak berdaftar yang dilabel dengan nama ‘Collagen Slim’ dan ‘Beautiful Slim Body’.
KKM sudah mendapat maklumat bahawa pihak regulatori Australia, Therapeutic Goods Administration (TGA), mengesan produk ‘Collagen Slim’ dan ‘Beautiful Slim Body’ mengandungi bahan racun berjadual sibutramine.
Kandungan sibutramine di dalam produk ‘Collagen Slim’ juga didapati melebihi dos yang dibenarkan. Semakan mendapati produk ini dipromosikan dan dipasarkan melalui penjualan internet untuk kecantikan serta penurunan berat badan.
Label produk-produk ini mengelirukan pengguna dengan menyatakan ia hanya mengandungi ramuan semulajadi.
Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti. Namun demikian, ubat-ubatan yang mengandungi sibutramine telah ditarik balik pendaftarannya di Malaysia pada 23 Disember 2012 atas sebab peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular.
Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan sibutramine adalah peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur.
Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.
Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk “Collagen Slim” dan “Beautiful Slim Body” adalah dinasihatkan supaya segera menghentikan pengambilan produk ini atas sebab risiko penggunaannya yang boleh memudaratkan kesihatan.
Orang awam boleh mendapatkan nasihat dan rawatan dari professional kesihatan sekiranya perlu. Bahagian ini juga menggesa agar pengguna lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan produk-produk kesihatan yang banyak dipromosikan melalui penjualan internet.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.
Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.