Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan ‘Malaysia Boleh’, demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.
“Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru ‘Malaysia Boleh’. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; ‘Yes We Can’ (Ya Kita boleh)’.
“Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama,” kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad.
Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat ‘boleh lakukan’ ini.
“Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan,” kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia.
Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
“Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika,” kata beliau.
Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka.
Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan – seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan – bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan.
“Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat ‘bekerjasama’ yang saya fikir kebanyakan anda amalkan,” kata beliau.
Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim.
Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan.
Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara.
Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan.
“Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan,” kata beliau.
Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda.
“Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras.
“Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat,” kata beliau.
Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi.
Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu.
“Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku.
Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan.
YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.