PKR bertindak menggantung keanggotaan keahlian Setiausaha Politik kepada Menteri Besar (MB) Selangor, Mustapha Mohd Talib, berkuatkuasa serta merta pada Khamis kerana didakwa mengugut pembantu khas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati melalui satu perbualan telefon.
Mustapha dikatakan mengugut untuk menamatkan khidmat S. Manikavasagam sebagai penyelaras DUN berkenaan.
Sementara itu Manikavasagam turut digantung keahlian berkuatkuasa serta merta kerana menuduh calon bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu kali ini, Tan Sri Khalid Ibrahim terbabit dalam politik wang bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor sehingga terdedah dan tersebar di media.
Pengerusi Lembaga Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, tuduhan Manikavasagam terhadap Khalid yang juga MB Selangor itu telah disiar dalam berita TV1 dan Buletin Utama TV3 pada 11 Mei 2014, serta akhbar Utusan Malaysia pada keesokan harinya.
“Ini merupakan pelanggaran Perkara B.7 Tataetika Pemilihan, iaitu ‘Sebarang perselisihan berkaitan dengan Pemilihan Parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum’,” kata Tan dalam satu kenyataan, Khamis.
Dalam kenyataan itu, Tan berkata Manikavasagam dan Mustapha akan diberi surat tunjuk sebab dan penggantungan keanggotaan mereka berkuatkuasa sehingga siasatan selesai.
Kes melibatkan mereka berdua dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali semalam (Rabu), dan keputusan penggantungan juga dibuat dalam mesyuarat yang sama, kata Tan lagi dalam kenyataannya itu.
Turut hadir pada mesyuarat Biro Politik PKR itu ialah Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid serta beberapa anggota Biro Politik yang lain.
Selain Manikavasagam dan Mustapha, kedua-duanya anggota PKR Cabang Kuala Selangor, Lembaga Disiplin PKR turut memberikan surat tunjuk sebab dan menggantung keahlian serta merta sehingga siasatan selesai terhadap enam yang lain.
Mereka ialah Bobinath Vello (Cabang Kuala Selangor), Monniza@Sarimah Abdul Ghani (Cabang Kampar), Md Yusop Kamaruddin (Cabang Pasir Salak), dan Ahmad Jufliz Faiza (Cabang Setiawangsa).
Mereka berempat didakwa telah membuat kenyataan kepada media mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan parti secara terbuka yang melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR.
Sementara itu, seorang anggota PKR Cabang Hulu Selangor, K. Gunasekaran Kuppan pula didakwa bersama beberapa orang yang lain bertindak agresif dengan merempuh pintu masuk dewan pengundian Cabang Hulu Selangor dan menghentikan proses kiraan kertas undi pada 11 Mei 2014.
Tindakan itu melanggar Perkara B.6 Tataetika Pemilihan iaitu “mana-mana calon atau penyokongnya adalah dilarang daripada mengganggu sebarang proses dan acara Pemilihan Parti.”
Gunasekaran juga akan diberi surat tunjuk sebab serta digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai.
Manakala Noor Azman Samsuri dari PKR Cabang Tanjung Karang pula dikatakan terbabit menipu tandatangan pencadang, Basri Kasnon, bagi pencalonan dirinya sendiri sebagai Ketua Cabang Tanjung Karang.
Noor Azman juga dikenakan tindakan yang sama dengan tujuh yang lain.