Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.
Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Khamis, mereka akan kembali ke Beijing bagi menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan China.
Pada pagi Khamis, Perdana Menteri sepatutnya dijadualkan menaiki kereta api laju untuk ke Tianjin yang mengambil masa perjalanan 33 minit.
Beliau juga akan menyaksikan upacara pecah tanah projek penyulingan air laut dan penghasilan garam Xianda’s Integrated Seawater Desalination and Salt Making di Zon Perindustrian Nangang.
Sekembalinya Najib ke tanah air, Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka mewakili beliau pada majlis berkenaan.
Jurucakap itu juga berkata, pertemuan dua hala antara Perdana Menteri dan rakan sejawatnya Li Keqiang yang dijadualkan pada petang Khamis akan diteruskan mengikut jadual.
Semasa di Beijing, Najib juga dijadualkan menghadiri sidang kemuncak ekonomi dengan para usahawan China.
Manakala acara kemuncak bagi lawatan beliau adalah majlis sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Great Hall of People pada Sabtu.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, mangkat pada jam 1.30 tengahari Rabu pada usia 86 tahun.
Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Sebelum itu jenazah baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.