Kanak-kanak sihat adalah aset negara amat bernilai. Biarpun begitu, gaya hidup yang diamalkan mereka hari ini menyumbang kepada pembentukan generasi tidak aktif dan ini yang dikupaskan dalam rencana terakhir daripada dua bahagian ini.
Bagi Aiman, pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah di Lembah Klang ini beranggapan bahawa kehidupannya sudah begitu teratur dan cukup sempurna.
Sepertimana pelajar lain, waktu paginya adalah masa untuk ke sekolah manakala tengah hari akan diguna dengan sebaiknya bagi menyiapkan latihan diberikan cikgu selain mengulang kaji pelajaran.
Bagaikan tidak lengkap, anak kedua daripada tiga adik-beradik ini akan memastikan waktu petangnya pula diisi dengan aktiviti riadah biarpun sibuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang pelajar.
Sekiranya hari ini bermain badminton, esok, permainan bola keranjang pula menjadi pilihan dan kebiasaannya Aiman akan memperuntukkan masa satu jam untuk aktiviti sukan.
“Saya seorang yang sangat aktif. Malah, saya amat gembira kerana mendapat ramai kawan ketika bermain termasuklah dari luar negara,” itu kata Aiman.
Bagaimanapun, apabila mendapat tahu aktiviti bermain badminton dan bola keranjangnya itu hanyalah di layar komputer yang dilengkapi Internet, timbul satu persoalan. Adakah ini boleh dikategorikan sebagai aktif?
SENARIO SUDAH BERUBAH
Hakikatnya, bukan hanya Aiman tetapi boleh dikatakan majoriti besar generasi muda hari ini merasakan kehidupan mereka sudah begitu aktif dengan hanya bersukan melalui teknologi.
Bagi golongan ini, yang juga dikenali sebagai ‘generasi digital’, pergerakan mata dan fizikal jari-jemari menekan papan kekunci dan tetikus komputer ataupun Play Station sudah memadai.
Tidak perlu lagi membuang masa bermain di luar bersama rakan-rakan dan sekiranya tidak bermain permainan digital pun, ada yang lebih menyukai melayari laman sosial menerusi telefon pintar.
Senario ini begitu ketara. Lihat sahaja di mana-mana, sama ada restoran, padang permainan, mereka tidak lekang daripada berkepit atau menatap skrin peralatan teknologi yang dimiliki.
Walhal, dengan hanya menghadap komputer, Play Station ataupun menonton televisyen berjam-jam lamanya tidak mampu untuk mengeluarkan peluh yang dapat mencergaskan lagi tubuh badan mereka.
“Terdapat mitos, kita merasakan anak kita aktif. Tetapi sebenarnya anak kita pada hari ini sudah tidak aktif lagi,” kata Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Dr Mehander Singh.
Beliau berkata demikian semasa menjadi panel perbincangan ‘Bringing Health and Nutrition Back to Malaysian Children’ anjuran Dutch Lady Malaysia.
Mehander berkata, gaya hidup sedentari adalah begitu membimbangkan. Ini kerana, mereka kini cenderung menjadi generasi kurang aktif.
GENERASI TIDAK AKTIF
Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts) yang melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand mendedahkan kebanyakan kanak-kanak sekolah berumur antara tujuh dan 12 tahun dilapor kurang melakukan aktiviti fizikal.
Pola perkembangan tidak sihat ini turut ditunjukkan oleh kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle. Bayangkan, daripada 100 responden hanya 27 peratus sahaja yang membabitkan diri dalam aktiviti fizikal pada masa lapang.
“Berbanding pada waktu dahulu ketika teknologi belum menguasai, kanak-kanak begitu aktif dan lasak. Mereka berjalan kaki ke sekolah, bermain sepanjang hari. Tetapi, kini mereka lebih gemar bermain Play Station,” jelas Mehander.
Hakikat ini sesuatu membimbangkan kerana sukan dan waktu bermain adalah sangat penting dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak.
Makan dengan betul juga penting, tetapi bersukan membolehkan proses pengeluaran peluh dilakukan sekali gus menyumbang kesihatan lebih baik.
“Aktiviti fizikal adalah penentu utama penggunaan tenaga dan penting untuk mendapatkan keseimbangan tenaga dan kawalan berat badan,” katanya.
Malahan, pelbagai kajian sebelum ini menunjukkan bahawa dengan hanya aktif bersukan dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit.
KEKURANGAN VITAMIN D
Disebabkan itu, sesuatu perlu dilakukan segera bagi menangani peningkatan populasi kanak-kanak pasif atau tidak aktif.
Selain berisiko menjadi obes kerana tidak banyak melakukan pergerakan sambil tabiat pemakanan tidak sihat, mereka juga dikhuatiri mengalami masalah kekurangan vitamin D.
Kajian Seanuts menunjukkan hampir separuh daripada kanak-kanak di bandar dan luar bandar mengalami masalah itu terutamanya dalam kalangan perempuan bandar.
Antara faktor penyebabnya adalah kurangnya pendedahan cahaya matahari yang merupakan sumber utama vitamin D
Penemuan ini dianggap menarik oleh Ketua Program Sains Nutrisi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon kerana negara menerima cahaya matahari secukupnya.
“Kita sepatutnya tidak kekurangan vitamin D. Satu daripada penyumbangnya adalah kebanyakan ibu bapa risau keselamatan anak sehingga tidak membenarkan mereka bermain di luar.
“Selain itu, masyarakat kita mendefinisikan kecantikan sebagai berkulit cerah, putih. Jadi ada ibu bapa tidak mahu anak mereka terdedah kepada cahaya matahari kerana risaukan perubahan warna kulit,” katanya.
Disebabkan itu, mereka memilih untuk menghadiahkan anak dengan permainan digital, telefon pintar, komputer dilengkapi kemudahan Internet supaya kanak-kanak ini senyap dan leka dengan teknologi itu.
Sedangkan, ibu bapa sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya usia pembesaran anak dengan menggalak mereka melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan bukannya hanya berkurung dalam rumah.
BAHAYA TULANG
Kekurangan vitamin D tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan nutrien penting diperlukan untuk kesihatan tulang selain mengawal jumlah kalsium dalam darah, kata Perunding Pediatrik Dr Yong Junina Fadzil.
Ini kerana, kekurangan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak boleh membahayakan perkembangan pembesaran mereka selain berisiko mendapat penyakit riket (penyakit tulang), sakit-sakit badan, kelemahan otot dan meningkatkan risiko keretakan tulang.
“Kanak-kanak memerlukan vitamin D untuk pertumbuhan dan pembangunan tulang kerana ia membantu menyerap kalsium. Apabila sinaran UVB matahari kena pada kulit, tubuh akan mensintesis vitamin D secara semulajadi.
Cahaya matahari adalah sumber utama vitamin D, bagaimanapun tegas Dr Junina semua itu hanya boleh diperoleh apabila terdedah kepada cahaya itu.
ROLE MODEL
Bagaimana menanganinya?
Menurut Dr Poh, tidak banyak makanan yang mengandungi vitamin D secara semula jadi, tetapi susu adalah antara sumber terbaik. Biarpun begitu, sudah tiba masanya ibu bapa merenungi balik peranan mereka menerusi penggalakan aktiviti sihat.
Mereka seharusnya menjadi ‘role model kepada anak dengan meluangkan masa melakukan pelbagai jenis aktiviti fizikal seperti berenang, bermain badminton mahupun bersenam.
“Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak aktif mempunyai IQ lebih baik daripada mereka yang obes ataupun mengalami tumbesaran terbantut,” katanya.