BELO HORIZONTE: Dua gol dalam tempoh 10 minit pada babak kedua oleh pemain gantian, Marouane Fellaini dan Dries Mertens membantu Belgium bangkit menewaskan Algeria 2-1 dalam aksi Kumpulan H di Stadium Mineirao di sini, awal pagi hari ini.
Algeria satu ketika tampak mengancam mampu membuat kejutan selepas mendahului 1-0 hasil sepakan penalti pada minit ke-25 yang juga gol pertama wakil Afrika itu dalam Piala Dunia sejak 1986.
Namun, kemarau itu berakhir apabila Sofiane Feghouli menyempurnakan sepakan penalti itu selepas dia dihalang oleh pemain pertahanan Belgium, Jan Vertonghen.
Belgium yang dilabel pasukan pilihan kelima untuk memenangi Piala Dunia tampak bergelut mencari rentak sehingga Kevin De Bruyne memberi satu umpanan cantik kepada Fellaini yang tampil menanduk masuk dari jarak 13 meter pada minit ke-70.
Selang 10 minit kemudian, seorang lagi pemain gantian, Mertens meledak gol kedua daripada satu sudut yang sukar untuk membantu Belgium menang dan mendahului carta kumpulan yang turut membabitkan Russia dan Korea Selatan.