KUALA LUMPUR 11 Julai – Pihak pengurusan Hospital Tung Shin menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki kawasan hospital itu.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Ng Beh Tong berkata, tidak ada gas pemedih mata disembur ke dalam kawasan hospital.
“Malah, pihak polis membawa beberapa orang penyokong demonstrasi yang cedera ringan semasa kejadian itu berlaku ke dalam hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas memberikan taklimat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong yang mengadakan lawatan ke hospital itu.
Beh Tong berkata, pada perhimpunan haram itu, polis juga tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap penyokong perhimpunan haram yang melarikan diri ke dalam hospital itu.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, pada masa kejadian itu, polis hanya melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong perhimpunan haram tersebut yang berkumpul di atas jalan raya di Jalan Pudu, di hadapan hospital berkenaan.
Mengenai rakaman video yang didakwa menayangkan polis menyembur meriam air ke arah hospital, beliau berkata, polis menyembur ke bangunan bersebelahan, di mana para penyokong berkumpul, bukan ke dalam hospital, dan perkara tersebut disokong oleh Beh Tong.