MADRID: Skuad yang dipalit kecewa besar, Sepanyol tiba di Madrid, awal pagi tadi. Namun, berbeza berbanding senario empat tahun lalu apabila mereka dijulang sebagai wira, pesawat yang dinaiki skuad La Roja itu disambar petir sejurus mendarat di Lapangan Terbang Adolfo Suarez Madrid-Barajas.
Jurucakap syarikat penerbangan Iberia mengesahkan pesawat Iberia 2907 disambar petir namun tidak mengalami kerosakan dan tiada siapa pun penumpang yang dilaporkan mengalami kecederaan.
Skuad bimbingan Vicente del Bosque tiba ke Brazil dengan harapan besar selaku penyandang juara namun semuanya berubah selepas tumbang 5-1 kepada Belanda dan kekalahan 2-0 kepada Chile memaksa mereka pulang awal.
Sebelum pulang, Sepanyol begitupun meraih hadiah sagu hati hasil kejayaan menewaskan Australia 3-0, Selasa lalu di Curitiba dan pulang hari ini.
“Kami semua tidak gembira dengan keseluruhan persembahan kami di Piala Dunia,” kata Del Bosque yang turut mengumumkan akan meletakkan jawatan. “Namun adalah penting untuk menamatkan saingan dengan kemenangan.”
Beberapa pemain utama Sepanyol terselamat daripada menjadi bahan kritikan media negara itu dengan Del Bosque menegaskan skuad emas La Roja perlu itu diberi pujian atas pencapaian yang diraih selama ini.
Beberapa bintang seperti Xavi Hernandez, Xabi Alonso, Fernando Torres dan Pepe Reina dijangka akan turut mengumumkan persaraan daripada aksi antarabangsa, yang memberikan Del Bosque yang memiliki kontrak sehingga Euro 2016 di Perancis pening seandainya mahu meneruskan tugasnya.