BEIJING: Pembuka botol memaparkan imej bintang Uruguay, Luiz Suarez yang menggigit bahu pemain pertahanan Itali tersebar luas di laman web di China untuk tempahan.
Ternyata insiden membabitkan Giorgio Chiellini itu kini bertukar menjadi peluang bisnes untuk golongan peniaga di negara ini.
Setakat ini, lebih 200 penjual di laman web Taobao menjual pembuka botol itu pada harga serendah 15 yuan.
Bagaimanapun, pembuka botol itu masih belum dihasilkan dan pengeluar berusaha menyiapkan tempahan sebelum ia mula dipasarkan minggu depan.
Penjual, yang dikenali sebagai Lin Mumu0393 memaklumkan dia menerima 108 tempahan dan masih berurusan dengan pengeluar untuk menghasilkan produk itu.
Dia mendakwa akan mempunyai bekalan yang terhad dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, pemilik kilang yang menghasilkan produk itu berkata, syarikatnya sudah menerima banyak tempahan daripada peniaga.