SEORANG wanita warga Romania mendakwa neneknya yang meninggal dunia telah menghubunginya dari ‘kubur’ dengan mengirimkan gambar selfie.
Gina Mihai, 34, berkata, dia menemui sekeping gambar mendiang neneknya di dalam telefon bimbitnya dan mempercayai roh neneknya itu sedang cuba untuk mendapatkan bantuan selepas seorang tukang tilik nasib memberitahunya bahawa neneknya sedang dihukum ‘di dalam kehidupan lain’.
“Saya terkejut selepas melihat wajah nenek saya yang telah meninggal dunia di dalam telefon bimbit,” katanya.
Mihai berkata, di dalam gambar itu terdapat sesuatu kelihatan seperti seekor ular yang melingkari leher mendiang neneknya, dan keseluruhan imej kelihatan seperti diambil menerusi satu lubang seolah-olah sebagai gambaran yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati.
Tambahnya: “Saya menunjukkan gambar itu kepada seorang tukang tilik nasib yang kemudiannya memberitahu saya bahawa mendiang nenek saya cuba untuk menyampaikan mesej dari alam lain, dan ular yang melingkari lehernya merupakan simbol dia sedang dihukum dari dunia lain kerana melakukan dosa.
Mihai percaya dia mungkin antara punca mendiang neneknya dihukum kerana tidak membawa makanan ke kubur neneknya, satu penghormatan secara tradisi yang dilakukan sebagai sedekah semasa perayaan orang Romania.