“Berfikirlah dahulu sebelum ‘klik’ sesuatu dalam laman sosial internet atau anda menyusahkan diri sendiri untuk menghadapi tindakan undang-undang”.
Itulah pesanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada mereka yang ghairah membuat sebarang komen atau memuat turun dan memuat naik gambar yang menyalahi undang-undang negara.
Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata tindakan ‘tweet’, ‘share’ (kongsi) dan komen yang boleh menyinggung perasaan atau memberi kesan negatif kepada pihak lain akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang walaupun dengan alasan “tidak sengaja”.
“Kadang-kadang jari-jemari ini lebih cepat bertindak sebelum minda dapat membuat keputusan. Orang ramai, ibu bapa perlu sedar, kini semua orang dihubungkan dan mudah dicari melalui media sosial, maka didiklah diri supaya lebih beretika, bertanggungjawab dan berhemah ketika menggunakan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran fasa kedua Program ‘Klik Dengan Bijak (Click Wisely) Meet Up!’ di sini, hari ini.
Kempen yang menyasarkan golongan remaja berumur 13 hingga 18 tahun itu, menyajikan pelbagai aplikasi dan permainan komunikasi bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna internet supaya memahami tiga aspek penting iaitu keselamatan, perlindungan dan tanggungjawab dalam alam siber.