Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Mohd Rafizi Ramli membidas ahli dan pemimpin parti itu yang secara terbuka kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui wujud bantahan dalaman berhubung ‘Langkah Kajang’ yang bertujuan menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor, Rafizi turut mencabar ahli PKR supaya keluar parti jika tidak bersetuju dengan ketua umum itu.
“Kalau kita pun salahkan Anwar, cari parti lain. Salahkan Anwar sama dengan kita bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.
Sejak ‘Langkah Kajang’ dimulakan pada Januari lalu, Anwar dan Rafizi menjadi mangsa kritikan termasuk anggota PKR yang tidak bersetuju dengan idea menggulingkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Selain itu, Rafizi turut menggunakan pentas kongres PKR untuk mempertahankan budaya nepotisme yang wujud dalam parti itu.
Katanya, tidak salah struktur kepimpinan PKR dimonopoli oleh keluarga Anwar kerana mereka mempunyai kelayakan dan kekuatan tersendiri.
“Soal nepotisme ini sebenarnya datang dari anggota parti kita sendiri. Malah isitilah ‘Istana Segambut’ juga dilabelkan oleh ahli kita sendiri.
“Tapi kita harus ingat, setiap seorang daripada mereka mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.
Anwar dikirtik kerana menjadikan PKR sebagai ‘parti anak beranak’ apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan presiden sementara anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar menduduki kerusi naib presiden.
Untuk rekod, kedudukan Anwar sebagai ketua umum merupakan jawatan lantikan yang tidak dipertandingkan.
Tambah Rafizi, ahli PKR turut dicabar supaya bertanding menentang Anwar dan keluarganya pada pemilihan akan datang.
“Kalau mereka ini teruk sangat, cabarlah mereka dalam pemilihan akan datang,” katanya.