Krisis jawatan Menteri Besar Selangor akan berakhir tidak lama lagi apabila Istana Selangor dijangka mengumumkan nama menteri besar yang baharu awal minggu depan.
Berdasarkan kad jemputan yang telah diedarkan, yang disahkan kebenarannya oleh para pegawai Istana, memaklumkan tentang majlis mengangkat sumpah jawatan itu pada pukul 10 pagi Selasa.
Istana enggan mengulas mengenai siapa yang akan menjadi menteri besar tetapi pilihan yang disenarai pendek adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Exco negeri dari PAS, Iskandar Samad.
Azmin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa manakala Iskandar adalah Adun Chempaka.
Kedua-dua mereka merupakan pengerusi parti masing-masing di peringkat negeri.
Difahamkan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dipilih sebagai Adun Kajang pada Mac lalu mungkin tidak akan mendapat jawatan itu.
Perletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar akan berkuat kuasa sebaik sahaja angkat sumpah menteri besar yang baharu.
Dengan majlis angkat sumpah pada Selasa depan, ini bermakna Sultan tidak akan lagi menunggu nama-nama yang akan diserahkan oleh PKR dan DAP yang mengambil masa panjang oleh para pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor.
Kedua-dua parti hanya mencalonkan Dr Wan Azizah walaupun terdapat arahan yang jelas daripada Istana supaya mencadangkan lebih dua nama.
Istana turut memaklumkan bahawa Sultan mungkin akan memilih menteri besar yang baharu berdasarkan senarai tiga nama yang diserahkan oleh PAS atau satu nama tiada dalam senarai.
Timbul kontroversi menerusi dua kenyataan tegas daripada Istana. Pertama, Sultan menitahkan bahawa DAP dan PKR adalah tidak setia atau derhaka kerana keengganan mereka untuk mengemukakan nama-nama lain, dan baginda menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang biadap.
Kenyataan kedua pula dikeluarkan pada Khamis apabila Istana menegur Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyebabkan kekeliruan dengan maklumat yang salah mengenai amalan yang dilakukan Istana dalam mengesahkan jawatan menteri besar.
Anwar mendakwa bahawa amalan mencalonkan hanya satu nama untuk jawatan menteri besar telah dilakukan sejak kemerdekaan negara.
Difahamkan juga terdapat banyak pengumuman palsu mengenai majlis angkat sumpah apabila pegawai Istana menerima banyak panggilan telefon yang bertanyakan mengenai jemputan yang diterima mereka adalah benar.
Sementara itu, di Muktamar PAS di Batu Pahat, Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali berkata, jawatan menteri besar itu adalah milik PKR. Tetapi beliau menambah sekiranya Sultan menawarkannya kepada PAS, semua parti harus menerima keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan menolak jawatan itu kerana ia menjadi satu perlantikan tersebut tidak akan bertahan lama tanpa persetujuan DAP dan PKR.