Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua pihak, khususnya golongan yang cuba membangkitkan isu membawa Sabah keluar dari Malaysia, agar tidak menggadai masa depan rakyat dan negeri itu semata-mata demi agenda peribadi.
Hishammuddin berkata golongan yang disifatkannya sebagai ‘tidak ada kerja lain selain berpolitik’ perlu melihat isu keselamatan Sabah daripada perspektif lebih jauh kerana sebarang kesilapan boleh mengundang padah dan segala yang diperjuangkan mereka termasuk kuasa akan menjadi sia-sia.
“Di sini saya nak menyatakan berhubung kait dengan kebimbangan saya berkenaan ancaman dan keselamatan di Sabah dan di Sarawak. Saya tengok apa yang berlaku di dunia, lebih-lebih lagi berkaitan militan Islam khususnya Islamic State (IS) dan apa yang kita lihat di bumi Iraq dan Syria.
“Hari ini saya mendedahkan kenyataan sokongan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF) dan Abu Sayyaf kepada IS.
“Ini bukan untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah tetapi ini kenyataan secara terbuka dan tidak mustahil ia merupakan sesuatu yang memang diperjuangkan oleh mereka kerana Moro National Liberation Front (MNLF) sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka untuk mewujudkan Islamic Caliphate iaitu merangkumi Selatan Filipina, Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia,” kata Hishammuddin.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Penampang di sini hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Penampang Datuk John Ambrose.
“Jadi ancaman yang dihadapi oleh Sabah kalau terbawa-bawa dengan sentimen polemik politik keluar dari negara Malaysia menggunakan isu perkauman dan isu keagamaan, ini merupakan keretakan yang wujud di negara-negara lain yang boleh diekoploitasi oleh pihak tertentu.
“Saya mengambil kesempatan hari ini mengingatkan pemimpin Umno dan rakyat Sabah bahawa ada had dan batasan dalam kita berpolitik, ada had dan batasan untuk kita mendapatkan kerusi dan kuasa.
“Sekiranya apa yang berlaku di negara-negara yang ‘tidak lulus ujian bila diduga’ jawatan tinggi, kedudukan tinggi tidak bermakna kalau negara huru-hara, rakyat tidak bersatu dan dijajah semula oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Hishammuddin.
Berdasarkan kenyataan BIFF, jurucakap BIFF Abu Misry Mama dilaporkan berkata bahawa mereka telah menjalin kerjasama dengan IS dan Abu Bakr al-Baghdadi.
Menurut Hishammuddin kumpulan militan di Nigeria Boko Haram juga mengumumkan rancangan mereka untuk menubuhkan negara Islam Nigeria dan menyokong IS serta kini di Selatan Filipina dan perkembangan itu sepatutnya membawa pengajaran kepada Sabah.
Beliau berkata berpolitik dengan mempolemikkan isu Sabah keluar dari Malaysia semata-mata atas pertimbangan peribadi, puak dan parti tertentu serta untuk merebut kuasa tidak akan membawa apa-apa makna kerana semua itu akhirnya akan dirampas pihak yang lebih ganas.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan risikan yang diterima, sokongan BIFF terhadap IS dan ancamannya terhadap Malaysia belum sampai ke tahap yang memerlukan Malaysia untuk meningkatkan kewaspadaan keselamatannya seperti yang dilakukan oleh United Kingdom dan Australia.
Katanya United Kingdom dan Australia telah meletakkan tahap keselamatan mereka pada tahap tertinggi dalam sejarah keselamatan negara berkenaan kerana ancaman IS.
“Austalia berada pada tahap keselamatan tertinggi dalam sejarah Australia hari ini dan ia bukan satu kebetulan. Jadi orang Sabah mestilah melihat lebih jauh kerana Australia tidaklah jauh sangat. Kalau Australia tak ubah tahap keselamatan mereka ke tahap yang pernah dilakukan dalam sejarah, apa maksud dan mesej yang diberikan,” kata Hishammuddin.