Bajet 2015 akan dibentangkan di Dewan Rakyat petang Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terdapat beberapa istilah dan ungkapan ekonomi khusus bagi menjelaskan butiran penting dalam bajet, yang perlu difahami umum.
Untuk membantu pemahaman ini, Bernama menemu bual seorang pakar ekonomi Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin (gambar) yang merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM).
S: Apakah sebenarnya bajet negara?
J: Bajet adalah rancangan perbelanjaan kerajaan yang melibatkan penerimaan wang, cukai serta duti lain dan wang tersebut digunakan dalam projek dan program pembangunan rakyat. Setiap tahun bajet dibuat satu kali dan merangkumi satu tahun fiskal yang bermula pada 15 Jan sehingga 15 Jan tahun berikutnya.
Bajet akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Jumaat terakhir bulan September atau Jumaat kedua, ketiga atau terakhir bulan Oktober.
S: Apakah yang dimaksudkan dengan bajet seimbang?
J: Bajet seimbang bermaksud dapatan kerajaan seimbang dengan perbelanjaan. Dalam erti kata lain, kerajaan tidak meminjam dan berbelanja daripada apa yang dikutip (cukai). Namun begitu, bajet seimbang ada bahayanya kerana jika kutipan sedikit dan belanja juga sedikit, projek-projek mungkin dikurangkan. Oleh itu, rakyat jangan terlalu teruja dengan bajet berimbang.
Kita harap kutipan besar, bajet pun besar, seimbang dan tiada defisit serta kekurangan. Selain itu, belanjawan berimbang boleh dikaitkan dengan pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Jika semua rakyat meningkatkan perbelanjaan mereka, maka ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Jika kerajaan tidak beri BR1M, orang miskin tidak akan berbelanja. Namun pada masa sama, kita perlu ingat jika banyak belanja tanpa kawalan akan mengundang inflasi. Justeru, antara galakan penggunaaan wang dan usaha kawal inflasi perlu ada kebijaksanaan.
S: Apakah yang dimaksudkan dengan bajet defisit?
J: Bajet defisit bermaksud negara berbelanja lebih daripada apa yang dikutip. Maknanya kita kutip cukai sedikit tetapi kita berbelanja banyak dalam mengurus dan pembangunan negara.
S: Apakah maksud istilah fiskal dan defisit fiskal?
J: Kita jarang guna istilah tersebut. Dalam bajet ada dua istilah iaitu fiskal dan monetori. Yang selalu disebut adalah fiskal. Monetori disebut secara tidak langsung kerana ia dijalankan oleh Bank Negara secara bebas dan melibatkan kadar kaedah pasaran, kuantiti wang, syarat pinjaman bank dan sebagainya.
S: Bagaimana kerajaan boleh mengurangkan defisit bajet?
J: Amatlah penting bagi kerajaan untuk mengurangkan defisit bajet kerana jika dibiarkan defisit fiskal atau defisit bajet, lama-kelamaan akan menjejas mata wang negara. Di samping itu, ia juga akan menjejaskan keyakinan orang luar terhadap mata wang negara, nilai dan kekuatan Ringgit akan jatuh, import mahal, eksport murah dan banyak perkara lagi akan terjejas.
Apabila orang tidak yakin dengan mata wang kita, maka ia akan menjadi sesetengah mata wang negara lain seperti Rupiah dan sukar untuk kembali kukuh.
Faktor lain yang mungkin menyumbang kepada defisit bajet ialah defisit dalam imbangan bayaran antarabangsa di mana kita lebih banyak import berbanding eksport. Selain itu, ia berlaku disebabkan negara lebih banyak berbelanja berbanding apa yang kutip.
S: Apakah pula peranan rakyat dalam langkah pengurangan defisit ini?
J: Rakyat perlu berbelanja lebih di dalam negara, berjimat-cermat dan jangan mengelak daripada membayar cukai. Kakitangan awam pula perlu bekerja dengan lebih cekap dan telus serta jangan melibatkan diri dengan perkara yang tidak meningkatkan produktiviti, termasuk menjauhi rasuah.
S: Sejauh mana bajet boleh menentukan penarafan kredit negara?
J: Bajet yang dibentangkan esok akan dinilai dari segi sama ada kerajaan berhemat atau tidak dalam membelanjakan wang. Biasanya soalan pertama adakah kita mempunyai kemampuan untuk mengadakan projek kerana jika banyak projek, kita berkemungkinan akan meminjam duit dan akan menjejaskan kredibiliti negara.
Terdapat dua tempat pinjaman wang iaitu di dalam atau luar negara. Dalam negara boleh juga kalau hendak disorok-sorok namun jika luar negara, ia akan terdedah dalam pasaran terbuka. Justeru, bajet yang bagaimana yang boleh menentukan penarafan kredit negara ialah ia perlu seimbang dan produktif.
Jika boleh, subsidi dikurang dan kesan agihan ditingkatkan supaya orang miskin mendapat bantuan dan turut berbelanja serta membantu dalam pertumbuhan ekonomi.
S: Wajibkah ada ‘goodies’ dalam bajet?
J: Memang wajib. Ini kerana bajet memerlukan sokongan rakyat dan kita sentiasa mengharapkan sokongan itu dalam apa juga perkara yang kita rancang untuk negara.
Misalnya dalam pertumbuhan ekonomi atau pertumbuhan sektor pelancongan, kita mengharapkan rakyat sokong. Apa makna pelancongan jika pelancong datang ke negara kita yang dalam keadaan huru-hara, rakyat tunjuk perasaan kerana tidak cukup makan, tidak cukup gaji.
Kerajaan mesti adakan ‘goodies’. Di Amerika dan Britain pun ada kerana itu memang tanggungjawab pemimpin. Sebut tentang ‘goodies’ selalunya diberikan kepada kakitangan kerajaan, memang tidak dinafikan ada pertikaian tentang perkara itu apabila ada pihak yang menganggap pihak lain mendapat lebih.
Masyarakat perlu dididik agar tidak mempunyai pemikiran negatif sebegitu. Orang miskin dapat subsidi atau dapat BR1M, orang yang bergaji tinggi akan tanya, sedangkan mereka golongan yang berkemampuan.
S: Apakah kesan bajet di peringkat individu?
J: Kesan bajet di peringkat individu bermaksud kesan sampingan bajet atau kesan langsung bajet. Seperti bantuan buku kepada individu dan dalam keluarga individu tersebut (dalam keluarga yang sama), ada juga yang menerima BR1M atau subsidi nelayan sebagai contoh.
Begitu juga dengan individu yang makan gaji dan membayar cukai, kita beri bonus setengah atau sebulan gaji. Jadi okaylah bila harga minyak naik, kerajaan bagi bonus, di situ ada penyesuaian.-