TANJUNG MALIM – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu memperkasa dan memartabatkan warisan Melayu dan negara dengan menubuhkan pusat bertaraf fakulti yang akan berperanan memperkenal kursus-kursus berkaitan peradaban.
Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan SultanIdris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, usaha tersebut termasuk melalui pengajian Hubungan Etnik dan subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS), pengajian warisan peradaban di peringkat sarjana dan doktor falsafah serta penyelidikan tentang peradaban dalam pelbagai disiplin ilmu.
Menurutnya, tokoh-tokoh yang mencipta nama dan pernah berjuang memartabatkan warisan peradaban Melayu juga hendaklah diabadikan di IPT dengan mewujudkan Kursi bertaraf profesor.
“Perjuangan memartabatkan warisan peradaban Melayu bukanlah bercanggah dengan ajaran Islam dan hak asasi manusia yang berpaksikan Perlembagaan, undang-undang, enakmen, peraturan, hukum adat dan nilai murni manusia.
“Di negara ini, peradaban adalah satu wadah istimewa iaitu kita tetap ingat dan sedar bahawa orang Melayu adalah bangsa besar yang mempunyai pelbagai suku bangsa, bahasa dan kebudayaan yang perlu dipertahankan dan dihormati. Perjuangan demi kepentingan sesuatu bangsa, khususnya bangsa Melayu bukanlah dianggap sebagai perkauman, sebaliknya dituntut dalam Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Syarahan Perdana: Gagasan dan Cabaran Dalam Memartabatkan Peradaban Melayu anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) di Auditorium Utama UPSI di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar.
Pada majlis sama, IPM turut melancarkan empat buku terbitannya berjudul ‘Warisan Bugis di Rumpun Melayu, Sejarah dan Warisan Bugis di Negeri-negeri Melayu, Perpaduan Ummah Dalam Peradaban Malaysia dan Jurnal Peradaban Melayu’ yang disempurnakan oleh Junaidi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, di samping memberi penekanan kepada pelajar tempatan, pelajar luar yang belajar di negara ini hendaklah diwajibkan menghayati peradaban Melayu dan negara melalui kursus peradaban dengan memberi penekanan dalam mata pelajaran bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu serta sejarah negara.
Katanya, kursus yang berkaitan peradaban seperti TITAS hendaklah diperkasakan dalam melahirkan pelajar berkualiti, modal insan bermutu, berdisiplin, mengikut ajaran Islam dan taat kepada Perlembagaan dan warisan negara.
“Sains dan teknologi serta sains sosial juga hendaklah diperkasakan dalam melahirkan pakar bertaraf dunia yang membawa ilmu dan ciptaan diterima dunia sebagai satu warisan peradaban Melayu yang diiktiraf dan dihormati,” ujarnya.