Perpecahan bangsa Melayu melemahkan kedudukannya sekaligus terpaksa merayu daripada bangsa lain untuk terus kekal berkuasa.
“Sepatutnya, memandangkan orang Melayu membentuk 60 peratus daripada jumlah penduduk, kita sepatutnya memenangi pilihan raya.
“Namun disebabkan kita terpisah kepada tiga kumpulan, kita terpaksa menjadi pengemis, meminta pertolongan daripada kaum lain, terutama golongan Cina untuk mendapatkan sokongan mereka
“Sama ada Umno, PKR, PAS… mereka mengemis pada orang Cina, DAP untuk dapatkan sokongan. Dan memandangkan kita jadi pengemis, kita tidak lagi berkuasa,” kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam seminar di Akademi Kenegaraan, Sabtu.
Menurutnya, kuasa politik untuk memerintah kini semakin lemah dan sekalipun Malaysia mencapai status negara maju, Melayu akan terus ketinggalan.
Itulah nasib bangsa tersebut hari ini dan sejarah menurutnya, memainkan peranan penting dalam mengenalpasti kelemahan seseorang dan lantaran itu penting untuk belajar dari sejarah.
“Kita perlu belajar dari sejarah dan mengambil iktibar apa yang berlaku. Kita perlu belajar taktik musuh kerana jika kita tidak berbuat demikian, sejarah akan berulang,” katanya.
Malaya katanya, jatuh ke tangan British semasa era pemerintahan monarki dan Malaysia tidak akan merdeka tanpa usaha orang Melayu yang membantah pembentukan Malayan Union.
“Kerana kita bersatu, kita mencapai kemerdekaan dan selepas itu kita sedar kita tidak boleh memberi kuasa penuh kepada monarki,” katanya.
Konsep berkongsi kekayaan dan pemberian kerakyatan kepada sejuta penduduk berlainan bangsa mengakibatkan kuasa politik Melayu berkurang.
“Kita bermula dengan 80% kemudian kurang kepada 60%. Kita menjadi lemah tetapi masih lagi majoriti, namun perpecahan antara orang Melayu setiap satunya mewakili kurang 50% undi Melayu menjadikan kita lemah dan bila ini berlaku kita tidak lagi mempunyai kuasa majoriti dan kuasa untuk memerintah,” katanya.
Menurutnya, Melayu juga berpecah kerana mengikut pemimpin mereka yang buta ajaran Islam, sedangkan matlamat mereka sama.
“Kejayaan bukan diukur melalui warna kulit atau lokasi atau cuaca atau hasil bumi, tetapi diukur oleh budaya dan nilai.
“Saya pun dimarahi orang Melayu kerana nasihat saya kerana ia menunjukkan sisi gelap mereka, tetapi jika kita tidak mengenalpasti kelemahan dan kita akan terus hidup dalam mimpi,” kata Tun Dr Mahathir.