Angkatan Tentera Malaysia, ATM mula menghantar bantuan dan bekalan makanan ke kawasan terjejas teruk di Manek Urai dan Kuala Krai, selepas cubaan untuk menghantar bekalan sejak beberapa hari lalu gagal.
Penghantaran menerusi udara dapat dilakukan ekoran cuaca bertambah baik semalam.
Operasi di Manek Urai dan Kuala Krai semalam membabitkan tiga helikopter EC725 dan Nuri TUDM.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, helikopter menghantar bantuan ke SMK Manek Urai, SK Banggol Guchil, Bukit Labur dan 20 pusat pemindahan lain.
Kelewatan bantuan selepas pesawat terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk dan jarak penglihatan yang terhad.
Bot sukar memasuki kawasan ekoran arus deras.
Beliau memberi jaminan, pihak tentera sedaya upaya membantu dan tidak akan membiarkan mangsa banjir.
Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi menyertai tinjauan dan misi bantuan di Banggol Guchil, petang semalam.
Susulan itu, pasukan perubatan tentera akan segera dihantar, selain klinik kesihatan akan dibuka di pusat pemindahan ini.