KOTA BARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara yang akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata berikutan situasi banjir yang semakin meruncing, kerajaan berharap bantuan tersebut akan membantu mengurangkan beban mangsa banjir.
“Untuk terus membantu mereka, bayaran BR1M yang dijadualkan hujung bulan depan dipercepatkan ke pertengahan Januari 2015,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.
Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti,” katanya.
Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.
Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.
“Saya diberitahu keadaan amat kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu serius.
“…dan ada juga tempat di mana mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan (ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini,” kata Najib.
Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya,” katanya.
Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.
“Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik,” katanya.