Tujuh mayat sudah berjaya diambil dari lokasi tragedi pesawat terhempas, QZ8501 Air Asia Indonesia termasuk jenazah seorang kakitangan pesawat itu.
Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, (TLDM) yang turut menyertai operasi SAR turut menemui satu mayat di sektor satu.
Mayat ditemui anggota kapal KD Lekir jam 9.20 pagi ini.
Mayat itu sudah diambil dan akan diserah kepada kapal Tentera Laut Indonesia KRI BANDA ACEH, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi Twitter.
“Enam mayat dari pesawat AirAsia QZ8501 berjaya diambil termasuk jenazah seorang krew penerbangan,” menurut laman web agensi berita antarabangsa CNN pagi ini yang memetik kenyataan Ketua SAR Indonesia, Bambang Soelistyo.
Mayat pertama iaitu lelaki ditemui jam 6.06 pagi, mayat kedua ialah wanita berpakaian seragam pramugari ditemui jam 6.45 pagi dan mayat ketiga seorang lelaki ditemui 6.56 pagi.
Identiti mereka bagaimanapun belum dikenal pasti.
Kapal perang Indonesia, KRI Bung Tomo juga berjaya mengumpulkan sejumlah besar barangan peribadi milik mangsa nahas selain beberapa objek keras daripada bahagian pesawat.
“Peralatan kecemasan bertulis AirAsia, dua pintu pesawat, satu unit tingkap kecemasan, beberapa beg berisi makanan dan kasut kanak-kanak serta kamera poket ditemui di kawasan perairan Pangkalan Bun,” kata ketua operasi KRI Bung Tomo, Dispne Koarmatim.
Semua mayat masih berada dalam KRI Bung Tomo ketika ini.
Kekeliruan komunikasi menyebabkan kenyataan berhubung jumlah mayat yang berjaya diambil berbeza.
Lewat petang semalam, Ketua SAR itu menyatakan tiga mayat telah berjaya diambil manakala seorang lagi pegawai menyebut sehingga 40 mayat telah ditemui.
Jurucakap tentera laut Indonesia, Manahan Simorangkir kemudiannya membetulkan laporan penemuan itu dengan menyalahkan faktor komunikasi dengan kakitangan bawahannya.