STOKE: Manchester United terus gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Stoke City di laman lawan, Brittania, sebentar tadi.
Ia keputusan seri kedua berturut-turut United dalam aksi Liga Perdana Inggeris dengan Stoke terlebih dulu mengejutkan pelawat apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan.
Bermula menerusi sepakan sudut Marko Arnautovic, Peter Crouch yang tidak dikawal melonjak tinggi sebelum melepaskan tandukan tepat ke Ryan Shawcross yang tidak mensia-siakan peluang terhidang di depannya.
Tersentak dengan jaringan itu, United pantas memburu jaringan penyamaan dan ia berhasil pada minit ke-26 menerusi penyerang Colombia, Radamel Falcao.
Ironinya, gol penyamaan itu hampir sama dengan gol Stoke yang dimulakan menerusi sepakan sudut kapten, Wayne Rooney sebelum disambut Michael Carrick yang memberi ruang kepada Falcao untuk meledak gol.
Tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan berakhir babak pertama dengan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan berakhir masa permainan.
Pada babak kedua, cubaan terbaik United adalah menerusi Robin van Persie namun sepakan voleynya sedikit tersasar namun Stoke paling hampir menambah jaringan namun tandukan Crouch dihalang palang gol.
Stoke juga hampir mendapatkan sepakan penalti selepas Crouch dijatuhkan Chris Smalling namun tiada penalti diberikan pengadil.
Keputusan seri menyaksikan United yang berada di kedudukan ketiga liga berisiko makin jauh ditinggalkan pendahulu, Chelsea dan Manchester City dalam pemburuan kejuaraan.