Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pahang hari ini menemui satu lagi mayat penumpang AirAsia Indonesia QZ8501 menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah ditemui sebanyak tujuh.
“Mayat itu kini berada dalam proses pengasingan oleh helikopter pasukan SAR TNI, HR3601 untuk dibawa ke Landasan Udara Iskandar Muda, Pangkalan Bun,” kata Komandan Pusat Penerbangan Angkatan Laut Juanda, Laksamana Pertama Sigit Setianta, sebentar tadi.
Beliau berkata, mayat berkenaan dimaklumkan adalah seorang wanita, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
“Ciri-cirinya adalah memakai seluar jeans, berbaju warna coklat, berkasut hitamm, memakan gelang dan jam tangan… rambutnya panjang berwarna hitam,” katanya.
Terdahulu, enam mayat sudah ditemui oleh pasukan BASARNAS.
Daripada enam mayat berkenaan, tiga adalah lelaki dan tiga perempuan.
Ketika ini, keenam-enam mayat sudah berada di Hospital Bhayangkara, Surabaya, Jawa Timur untuk pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).
Ahad lalu, pesawat Airbus 320-200 itu yang membawa 162 penumpang dan anak kapal hilang dari radar selepas 42 minit berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Singapura pada 8.20 pagi.