Husam tidak perlu takut DUN Salor hanyut kerana sudah berpuluh kali banjir di Kelantan, PAS tetap kekal. Dan jika benar, rakyat Kelantan ingin menolak 27 kerusi DUN PAS, itu hak mereka.
Kelantan masih dalam musibah dan ramai rakyat dalam trauma akibat banjir tetapi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berada di Kuala Lumpur, bercakap soal bimbang 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan ‘hanyut’.
Adun Salor itu bimbang keprihatinan kerajaan Pusat dan kurang kemampuan kerajaan PAS Kelantan membantu mangsa-mangsa banjir dan memulihkan negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu akan mengalih sokongan rakyat negeri itu kepada Pusat .
Nada ungkapannya dalam program Malam Amal, Kelantan Pasca Banjir, “The Untold Story” anjuran Yayasan Darul Hijrah di Kuala Lumpur, malam tadi menunjukkan Husam cuba menggambarkan kerajaan Pusat bermain politik dalam membantu Kelantan.
“Cara sesetengah pemimpin kata, seperti mahu gunakan kesempatan ini untuk meluaskan pengaruh politik mereka.
“Kita tidak boleh bina rumah seperti kerajaan pusat bina, tetapi kita mahu dilihat, mengetuai misi banjir mega Kelantan 2014. Saya mahu tuan puan bantu kami daripada segi itu,” katanya.
Tidak tahu berapa kutipan majlis malam amal tadi kerana kebiasaannya PAS akan senyap begitu sahaja dalam isu kutipan derma.
Malah jumlah kutipan Tabung Memali masih misteri hingga sekarang.
Beliau mengakui banjir kali ini paling hebat dan luar biasa.
Jadi mengapa beliau masih menunding jari kepada kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) kononnya seperti tidak bersedia menghadapi banjir besar , sehingga mengakibatkan penduduk terlibat gagal bersiap sedia sekali gus mengalami kerugian besar susulan kehilangan harta benda dan kemusnahan kediaman mereka.
Barangkali Husam baru lahir sebab itu beliau tidak tahu bahawa kerajaan sudah ‘masak’ dengan kejadian banjir setiap tahun dan kaedah menanganinya.
Jika beliau mengakui banjir kali ini paling hebat dan luar biasa, ini bermakna musibah ini diluar jangkaan kerajaan Pusat.
Husam patut sedar, bukan sahaja kerajaan Puat malah kerajaan PAS Kelantan yang beliau sendiri pernah sama-sama mentadbirnya juga tidak mampu menyekat banjir pada kali ini.
Kenapa beliau menunding jari kepada kerajaan Pusat dan menjadikan isu kononnya DUN Kelantan akan ‘hanyut, dan tuntutan royalti minyak?
Adakah beliau juga menutup kisah-kisah banjir yang teruk ekoran punca pembalakan rakus yang sesetengah pihak mengaitkannya dengan dirinya?
Husam turut berkongsi pengalaman beliau sebagai mangsa banjir apabila rumahnya di Kelantan turut ditenggelami air termasuk kenderaannya juga gagal diselamatkan.
” Pukul 7.30 pagi, 27 Disember, kita ambil gambar air sampai rumah kita seronok, tidak pernah banjir tetapi lama-kelamaan air naik terlalu mendadak.
“Di kampung saya, di tepi jalan besar, kereta bersusun ‘berenang’ dalam banjir,” katanya.
Namun, apa sangat kesusahan Husam yang rumah dinaiki air dan gagal menyelamatkan kenderaannya berbanding puluhan ribu lagi rakyat Kelantan yang derita apabila hanya tinggal tapak rumah selepas banjir surut?
Mereka masih lagi berlinang air mata mengenang musibah dan nasib bakal dihadapi untuk membina semula kehidupan sedangkan Husam boleh berada di Kuala Lumpur meninggalkan rakyat Kelantan yang masih memerlukan bantuan.
Apakah kerana kerajaan Pusat sudah memberikan bantuan bantuan maka Husam sanggup meninggalkan mangsa-mangsa banjir di Kelantan?
Walaupun macam-macam tuduhan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM500 juta bagi setiap negeri yang dilanda banjir.
Peruntukan itu meadalah tambahan kepada bantuan RM50 juta melalui Kementerian Kewangan yang diumumkan pada 25 Disember lalu, khusus bagi operasi menyelamat dan penghantaran barangan keperluan kepada mangsa banjir.
Sepatutnya, dalam berdepan banjir besar begini, yang susah sama dipikul, yang berat sama dijinjing.
Beliau tidak patut membicarakan soal politik apatah lagi takut dan melenting dengan saranan sesetengah pihak supaya jud kerajaan campuran di Kelantan.
Itu bukan idea BN. Bagaimanapun, Husam yang paling awal menentang.
Mungkin beliau lupa, bukan Husam Menteri Besar Kelantan atau pemimpin utama PAS di negeri itu yang berhak membuat keputusan menolak atau menerima cadangan kerajaan campuran itu.
Jika Husam khuatir Adun Salor bakal ‘hanyut’, kembali ke Kelantan bantu kerajaan merancang dan memulihkan negeri itu dan minta rakan-rakan seperti DAP dan PKR menghuluran bantuan lebih banyak tanda solidariti bukannya hanya datang ibarat melepas batuk di tangga.
Husam tidak perlu takut DUN Salor hanyut kerana sudah berpuluh kali banjir di Kelantan, PAS tetap kekal. Dan jika benar, rakyat Kelantan ingin menolak 27 kerusi DUN PAS, itu hak mereka.