Sikap segelintir pengguna media sosial negara ini yang berlumba-lumba berkongsi maklumat tidak sahih berhubung sesuatu peristiwa sehingga mencetuskan suasana cemas di kalangan rakyat, jelas membimbangkan.
Tabiat buruk sebilangan rakyat Malaysia di laman media sosial ketika negara berhadapan dengan malapetaka atau tragedi tidak diduga, dilihat semakin hari semakin parah.
Tidak cukup dengan insiden kehilangan pesawat MH370 dan tragedi menyayat hati melibatkan MH17 yang ditembak jatuh tahun lalu, dunia maya sekali lagi menjadi medan mereka menabur fitnah dan menuding jari, apabila negara dikejutkan dengan tragedi banjir luar biasa di Kelantan, banjir terburuk dan dahsyat sekali impaknya.
Tatkala rakyat di tiga negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung bergelut menghadapi musibah banjir Disember lepas, muncul cerita rekaan dan fitnah tentang jumlah tinggi kematian mangsa banjir yang dikatakan disembunyikan kerajaan. Kononnya juga, puluhan orang mati lemas di Kuala Krai, Kelantan, selain bantuan disekat dan diberi pada penyokong parti pemerintah sahaja, sebuah pusat pemindahan runtuh serta seorang bayi mati di dalam lumpur berserta gambar palsu yang diceduk dari negara lain, dan pelbagai lagi cerita bohong.
Sudah hilangkah sifat peri kemanusiaan mereka, sehingga begitu mudah sekali menaip status negatif di akaun media sosial ataupun menekan butang ‘share’ tanpa memastikan kesahihannya? Ke mana menghilangnya sensitiviti rakyat Malaysia?
KEPINCANGAN PERIBADI
Membicarakan hal berkenaan, pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata sikap gemar mencipta spekulasi dengan tujuan mewujudkan situasi cemas atau ketidaktenteraman hanya menunjukkan ketidaktamadun dan kepincangan keperibadian individu berkenaan.
Katanya individu sebegitu tidak melihat sesuatu musibah di ruang perspektif empati tetapi melihatnya sebagai satu peluang untuk memporak-perandakan negara dan menyebarkan rasa benci keterlaluan kepada kerajaan.
“Situasi ini bukan sahaja ketika banjir tetapi juga ketika musibah lain dengan menjadikan sesuatu musibah itu sebagai batu loncatan untuk kepentingan politik dan menghentam kerajaan, kononnya kerajaan lemah dalam menghulur bantuan,” katanya.
Beliau berkata tuduhan serta fitnah yang dilempar dan diviralkan di media sosial, bukan sahaja melukakan hati mangsa banjir, tetapi juga para sukarelawan yang ikhlas meredah pelbagai kesulitan untuk datang membantu.
AMBIL TINDAKAN TEGAS
“Mereka bukan sahaja tidak memberikan pengiktirafan kepada yang membantu, malah mencela dan menghina. Bingung memikirkan, susah sangatkah untuk bersangka baik? Mereka bagaikan dirasuk hinggakan tidak boleh berfikir rasional.
“Tidak dinafikan mungkin berlaku kelemahan di sana sini tetapi kerajaan sendiri telah berbuat sehabis baik, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya salah di mata mereka hinggakan sanggup menyebarkan berita bohong,” katanya.
Ismail berkata kerajaan tidak boleh berlembut lagi terhadap individu-individu tidak bertanggungjawab, sama ada mereka yang memulakan atau mereka yang menjadikan berita palsu itu viral tanpa usul periksa.
“Tindakan perlu dibuat dengan tegas kerana tabiat negatif ini jika dibiarkan dan didiamkan, ia akan berterusan pada masa lain dan menyebabkan orang tidak takut untuk menyalahgunakan alam siber,” katanya.
Sehingga kini, seramai lapan individu yang diminta tampil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran berita palsu mengenai bencana banjir, memberi kerjasama dengan hadir ke pejabat suruhanjaya itu untuk membantu siasatan. SKMM juga meminta kerjasama 14 individu lain untuk tampil atas tujuan sama.
TABIAT BURUK DIBIMBANGI
Bagi pakar perunding psikiatri Universiti Malaya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, sikap menghadam bulat-bulat dan mudah berkongsi dengan pengguna lain tentang apa jua yang dibaca di Internet tanpa tahu hujung pangkalnya menjadi tabiat buruk yang semakin dibimbangi.
Beliau berkata tindakan memuat naik status berunsur jahat atau gambar palsu di kala warga negara ini sedang berduka, hanya akan mengusutkan lagi emosi, tekanan dan kesengsaraan, terutamanya kepada mangsa yang terjejas teruk.
Katanya orang ramai seharusnya bersikap lebih sensitif dengan mengelak daripada menyebarkan spekulasi yang boleh menambah kegelisahan mangsa, malah menggunapakai sebaik mungkin media sosial dalam membantu atau memberi sokongan dan semangat kepada mereka.
“Terdapat pengguna media sosial yang amat gemar mensensasikan keadaan, ditambah pula dengan golongan yang mudah teruja untuk klik butang ‘share’ walau tiada kepastian…ini menyebabkan mangsa banjir yang masih trauma, menjadi lebih beremosi dan tertekan.
“Masih ramai pengguna media sosial tidak mengambil iktibar, malah tidak serik-serik menambah api…sikap ini perlu dibaiki dan diubah kerana ia cukup bahaya,” katanya.
SOKONGAN PSIKOLOGI UNTUK MANGSA
Muhammad Muhsin berkata buat masa ini, sokongan psikologi dan emosi untuk meneruskan hidup amat didambakan para mangsa banjir bagi mengurangkan kesedihan dan trauma yang dihadapi.
Memandangkan aspek psikologi amat penting terutamanya ketika menghadapi pasca banjir, beliau berkata semua pihak tanpa mengira fahaman politik termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) hendaklah giat mendekati mangsa-mangsa banjir dan memainkan peranan lebih proaktif.
“Tragedi ini bagaikan mini tsunami dan malapetaka yang amat dahsyat hinggakan ada yang hilang tempat tinggal, hilang kaum keluarga dan ramai yang sehelai sepinggang. Ini meninggalkan kesan psikologi yang cukup besar kepada mangsa.
“Meskipun banjir berlaku saban tahun, tetapi tahap keseriusan begini tidak diduga penduduk…maka mereka perlukan sokongan dan kaunseling daripada semua pihak bagi memastikan tidak berlaku trauma berlebihan,” katanya.