Kehadiran seorang gadis ‘Mat Saleh’ selaku penebar roti canai di sebuah warung di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini, menarik tumpuan pengunjung.
Apatah lagi gadis ini kelihatan bertambah manis dengan memakai tudung.
Chantal Viola, 17, pelajar sebuah sekolah sains, Liceo Sciemtifico Statale Democrito di Rome, Itali sudah enam bulan menjadi pembantu di warung itu milik bapa seorang rakan baiknya.
Chantal sebenarnya sedang mengikuti program pertukaran pelajar anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS) dan ditempatkan di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.
Dia menumpang dengan sebuah keluarga angkat.
“Saya jadi pembantu warung hanya pada hari cuti sekolah bagi membolehkan saya belajar dan berkomunikasi dengan masyarakat tempatan. Saya suka belajar bahasa Melayu. Enam bulan saya di sini, sekarang saya boleh cakap sikit-sikit bahasa Melayu.
“Saya sudah boleh ambil ‘order’. Bila orang cakap mahu roti canai, teh tarik, saya dah faham,” katanya dan menambah dia juga sudah pandai membuat teh ais dan teh o ais.
Dia berkata dia mula berminat bekerja di warung setelah dibawa rakan karibnya Nur Sahira Md Sallehuddin, 17, ke gerai milik bapanya iaitu Mohd Sallehuddin Shaari, 46.
Mengenai roti canai, dia berkata makanan iu merupakan antara kegemarannya sejak menjejak kaki ke negara ini Julai tahun lepas, selain makanan lain seperti nasi berlauk ayam, laksa dan minuman laici kang.
Ditanya pula kenapa dia memakai tudung, Chantal berkata dia berbuat demikian bagi menghormati keluarga angkatnya serta budaya masyarakat Melayu.
Tudung dipakai atas kehendaknya sendiri dan bukan dipaksa sesiapa, katanya dan menambah dia juga berbaju kurung dan bertudung ke sekolah.
“Kali pertama pakai tudung pergi sekolah, saya pengsan sebab cuaca terlalu panas. Sekarang saya lebih selesa bertudung. Saya sekarang sudah pandai pakai tudung bawal dan shawl,” jelasnya.
Bapa angkatnya Ishak Md Shah, 59, yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar berkata beliau tidak menghalang Chantal bekerja di warung kerana niatnya untuk menguasai bahasa Melayu melalui percakapan dengan orang ramai.
Beliau berkata gadis itu rajin membuat kerja dengan turut membantu isterinya mengemas rumah, mencuci dan memasak.
Sementara itu wakil AFS Kedah, Rohaya Md Yusoff berkata Chantal merupakan seorang daripada lima pelajar asing yang ditempatkan bersama keluarga angkat di negeri ini sejak Julai tahun lepas.
Katanya program itu selama setahun bagi memberi peluang pelajar asing mengenali budaya Malaysia.