Dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, kecanggihan teknologi maklumat bukan sahaja mampu menyatukan segenap lapisan masyarakat bahkan boleh menyebabkan runtuhnya keharmonian negara jika ia disalahgunakan.
Tatkala teknologi komunikasi moden masa kini menjadikan medan bersuara lebih luas jangkauannya, ia juga sebenarnya turut menghakis budaya kesantunan segelintir masyarakat di negara ini yang memanfaatkan perkembangan teknologi untuk tujuan provokasi perkauman dan penghinaan agama.
Di Malaysia, kebebasan bersuara dinikmati rakyat negara ini seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, iaitu memberi hak kepada setiap warganegara kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Malangnya, atas dasar kebebasan bersuara dan tanpa memikir impak jangkauan teknologi komunikasi moden, ada segelintir individu tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengambil kesempatan mengundang ketegangan yang boleh meruntuhkan kerukunan hidup masyarakat walapun hanya menerusi sebaris atau dua ayat berbentuk provokasi agama, bangsa dan budaya.
PERMULAAN TAHUN YANG MENGECEWAKAN
Tahun 2015 baru sahaja bermula, umat Islam negara ini sekali lagi diuji apabila Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen dalam akaun Twitter miliknya mendakwa JAKIM sedang menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat dan kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia.
Pada tahun lepas beberapa kes penghinaan terhadap agama Islam di media sosial dilakukan pihak tidak bertanggungjawab antaranya gambar anjing yang dipakaikan jubah dan serban; gambar babi panggang dengan tertera nama Allah dan Muhammad serta logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam oleh anggota Parti Reformasi Negeri (Star) di Sabah, David Orok.
Persoalannya, kenapa Islam berterusan diserang oleh pihak tertentu? Adakah adat ketimuran yang menganjurkan budaya menghormati dan bertoleransi semakin lenyap di kalangan rakyat di negara ini?
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata fahaman liberalisme dan sekularisme antara faktor yang mendorong Islam berterusan dijadikan bahan provokasi.
Beliau berkata kecanggihan teknologi menjadikan kedua-dua fahaman itu menular dengan lebih cepat secara tidak langsung mempengaruhi dan meracuni pemikiran serta tingkah laku masyarakat sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.
Adat ketimuran dan tatasusila, yang selama ini menjadi pegangan setiap lapisan masyarakat bagi memastikan keharmonian yang dinikmati hari ini berkekalan, pula semakin luntur.
“Akibat kekurangan jati diri dan sensitiviti tentang sesuatu kaum dan agama, maka lahirlah perkara-perkara menghina ini.
“Kita tidak dapat mengelak daripada mengikuti perkembangan teknologi pada masa ini. Kewujudan teknologi juga membantu Islam mengembangkan dakwah syiar agama,” katanya.
ISLAM JADI BAHAN PROVOKASI
Pandangan serupa turut dikongsi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menyifatkan fahaman liberalisme yang disuburkan oleh pihak tertentu telah menyebabkan kesucian Islam semakin tercalar dan tercemar.
“Implikasinya, orang bukan Islam mengambil peluang itu menjadikan mereka berani mencabar dan menghina Islam dengan beranggapan orang Islam sendiri boleh membelakangkan agama mereka,” katanya.
Guru kelas mengaji Al-Quran, Ustaz Mohd Muaffaq Yahya berkata tentangan terhadap Islam tetap berlaku walau apa jua bentuknya sama ada daripada segi penghinaan di alam maya, mahu pun dalam bentuk peperangan.
Katanya apa yang penting umat Islam harus mempamerkan tataetika menegur yang baik sekali gus menjadi contoh kepada bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kedamaian.
“Undang-undang yang ada sekarang ini sudah cukup baik. Cuma saya mengharapkan kerajaan dapat memikirkan kaedah lain supaya tiada lagi individu yang sewenang-wenangnya menghina Islam.
“Bagi masyarakat Islam adalah elok jika kita berhujah secara berhemah dan bukannya memaki hamun dan mencaci individu yang melakukan provokasi kerana ia akan memburukkan lagi imej Islam.
“Penghinaan terhadap Islam bukanlah salah teknologi sebaliknya individu yang menguasainya, sama ada ia mahu menganjurkan ke arah kebaikan atau kejahatan,” katanya.
Mohd Muaffaq berkata sebagai masyarakat timur, sepatutnya rakyat berbilang bangsa yang tinggal bersama-sama dalam satu negara menolak anasir jahat pihak luar yang ingin memecahbelahkan perpaduan kaum yang terjalin selama ini.
“Dengan pegangan asas agama dan ditambah dengan nilai-nilai murni ketimuran seperti menghormati, bertoleransi dan sebagainya sudah cukup kuat untuk menjadi benteng untuk menolak anasir tidak sihat pihak tertentu,” katanya.