Seorang lelaki warga China bertindak membuka pintu kecemasan pesawat China Southern Airlines sebelum ia berlepas dari Lapangan Terbang Nanjing pada Isnin lalu, lapor media tempatan.
Menurut The Beijing News, tindakannya itu dibuat dengan serta-merta selepas dia menaiki pesawat bagi penerbangan ke Nanning, telah menggemparkan kru kabin dan penumpang lain yang sedang membuat persiapan untuk berlepas.
Tanpa memberi penjelasan mengenai tindakannya itu, lelaki yang tidak dikenali tersebut duduk di bahagian pintu yang terbuka sambil memandang ke luar.
Ketika kejadian, tiada seorang pun yang cuba untuk menghalang tindakannya itu, dan dia dapat membuka pintu kecemasan itu dengan muda, kata mereka yang menyaksikan insiden itu memetik laporan The South China Morning Post (SCMP).
Dilaporkan, kru kabin sedang sibuk membantu penumpang lain.
Ditanya mengapa dia membuka pintu tersebut, dia dipetik oleh SCMP sebagai berkata menjawab soalan itu: “Pintu ini tidak penting.”
Syarikat penerbangan itu berkata, lelaki berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia tahu telah melakukan sesuatu yang salah, lapor SCMP.
Tindakan lelaki itu menyebabkan penerbangan terpaksa ditunda selama hampir sejam, lapor SCMP, sambil menambah bahawa ia akhirnya berlepas selepas melakukan pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh.
The Beijing News melaporkan lelaki itu terpaksa menghabiskan cuti Tahun Baru Cina di dalam penjara, selepas polis menahannya di Lapangan Terbang Nanjing.
SCMP melaporkan menurut polis, lelaki itu akan ditahan selama 10 hari.
Tindakan lelaki itu merupakan kes yang sama telah dilakukan oleh beberapa penumpang warga China yang membuka pintu kecemasan pesawat.
Bulan lalu, seramai 25 penumpang warga China membuka pintu kecemasan di sebuah pesawat sebelum berlepas bagi menunjukkan kemarahan mereka kerana penerbangan ditunda, lapor Agence France Presse.
Pada 12 Disember tahun lalu, seorang penumpang warga China telah menyebabkan satu penerbangan China Eastern ditunda selama dua jam selepas cubaannya untuk keluar dari pesawat itu dengan cepat menggunakan pintu kecemasan.
Pada Disember lalu juga seorang lelaki warga China membuka pintu kecemasan di dalam pesawat Xiamen Air sejurus sebelum berlepas. Dia yang pertama kali menaiki kapal terbang dikatakan mahu menghirup udara segar.