KUALA LUMPUR 22 Julai – Polis tidak menghalang hasrat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang dilapor mahu menyaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan dilanggar sebuah kereta polis semasa perhimpunan haram di ibu negara, 9 Julai lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis tidak boleh menghalang mana-mana pihak atau individu yang mahu menyaman PDRM termasuk oleh anggota dan pegawai polis sendiri.
“Itu hak individu, kita (PDRM) tak menghalang (saman). Kita agensi yang profesional.
“Kita dah jalankan tugas kita dengan memberi penjelasan dan gambaran apa yang berlaku itu semalam (tayangan video)… terpulang kepada mana-mana pihak untuk buat penilaian,” katanya pada sidang media selepas majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1/2011 di sini hari ini, bagi balai polis terbaik seluruh negara.
Ismail berkata demikian sebagai mengulas mengenai komen Mohamad di dalam sebuah portal pembangkang yang mahu menyaman polis selepas didakwa melanggar motosikal yang diboncengnya pada perhimpunan haram tersebut.
Polis semalam menyiarkan rakaman video yang menunjukkan motosikal yang dibonceng Mohamad tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U, motosikal itu terkena ”fender” Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan
Mat Sabu pun pembelit besar. Dalam Malaysia kini 11 Julay kata dilanggar oleh Land Rover polis. 11 hari kemudian di Keadilan Daily kata dilanggar oleh kereta Waja polis. Mana satu nak pakai cakap dia ni.
Polis bohong, saya dirempuh Proton Waja, bukan Pajero- Mat Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menggesa pihak polis menarik semula kenyataan bahawa beliau membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan polis pada 9 Julai lalu, atau berdepan tindakan saman.
Ketika dihubungi Keadilandaily, Mohamad berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.
Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
“Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid (Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman) kerana melakukan fitnah,” katanya kepada Keadilandaily.
Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.
“Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu,”
“Kereta Waja yang cross itu (yang melanggar),” kata beliau. KEADILAN DAILY Jul 22 2011.
Mat Sabu: Land Rover polis rempuh saya
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini mendakwa polis menggunakan trak merempuh motosikal yang diboncengnya ketika dalam perjalanan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 kelmarin.
Melawat Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam dengan berkerusi roda, pemimpin yang selalu ceria itu kelihatan serius menceritakan kembali pengalamannya itu.
Mohamad (kiri) berkata, ketika dalam perjalanan dari Masjid Negara, tiba-tiba sebuah Land Rover merempuhnya.
Ketika itu, tambahnya, beliau tidak tahu bahawa kenderaan itu dipandu pihak polis.
Dalam sidang media itu, Mohamad berkata, setelah terjatuh di jalan, beliau dan penunggang motosikal itu dibawa dengan Land Rover itu ke klinik di Jinjang sebelum kes itu dirujuk ke hospital. Malaysiakini Jul 11, 11 3:44pm