Dengan PKR yang tidak akan menyokong pembentangan rang undang-undang persendirian hudud oleh PAS di Dewan Rakyat, DAP terus menohmah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan tindakan Presiden PAS itu menulis surat ke Parlimen sebagai tidak jujur dan tidak bermaruah.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa tindakan Hadi membuat keputusan sendiri membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) apabila memohon kebenaran Parlimen bagi membentangkan rang undang-itu.
“Tindakan Hadi mencabuli keputusan Majlis Tertinggi PR kerana sebarang usul persendirian mesti terlebih dahulu dikemukakan kepada mereka sebelum dihantar ke Parlimen.
“Ini mencabuli keputusan Majlis Tertinggi sendiri. ‘Not honest and not honourable’ (tidak jujur dan tidak bermaruah). Sebab itu kita tidak boleh mempersetujuinya,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Shah Alam, Ahad. .
Menurut Kit Siang, PKR sudah mengumumkan tidak bersetuju dengan keputusan PAS dan DAP pun tidak boleh bersetuju.
Semalam, PKR dalam kenyataan yang ditandatangani tujuh pemimpin tertingginya, menyatakan parti itu tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan yang akan dibentangkan PAS di Parlimen.
Ini kerana parti Islam itu tidak menghiraukan kesepakatan yang dicapai dalam isu tersebut.
PKR menyifatkan tindakan yang diambil Hadi menulis surat kepada Parlimen pada 18 Mac itu, sebagai menentang keputusan pimpinan PR.
Kit Siang berkata, keputusan mengenai rang undang-undang itu sudah diputuskan PR melalui mesyuarat pada 8 Februari 2015.
“Pada mesyuarat 8 Februari, yang turut dihadiri Hadi, kita (Majlis Tertinggi PR) sudah buat keputusan mengenai sebarang pindaan rang undang-undang Kelantan (hudud),” katanya.
Sementara itu, DAP Sabah mengikut jejak DAP Sarawak apabila mengumumkan membekukan kerjasama dengan PAS di negeri itu.
Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin berkata, keputusan dibuat ekoran tindakan PAS mengkhianati dan membelakangi perjanjian kesefahaman bersama PR apabila PAS Kelantan meluluskan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
“DAP Sabah melihat senario di Kelantan ini sebagai satu kegagalan terbesar PAS berpegang pada janji dalam kerjasamanya dengan PR.
“PAS juga memperlihatkan kegagalan parti itu apabila terjerumus dalam mainan politik kotor UMNO. Keadaan ini turut menjejaskan kerjasama DAP dan PAS di Sabah,” kata Wong dalam satu kenyataan, Ahad.
Tambahnya, apabila Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dengan sokongan wakil UMNO negeri itu, ia memberi satu tamparan hebat kepada rakyat Sabah yang dikuasai BN.
“Dengan meluluskan undang-undang hudud yang mendapat restu UMNO, PAS menjadikan hudud bukan lagi satu isu di Kelantan. Ia kini satu isu besar di Malaysia, melibatkan keharmonian dan keluhuran perlembagaan.
“Jika wakil BN Kelantan yang dikuasai Umno menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan, apakah pendirian wakil BN Sabah, khususnya dari UMNO, terhadap perlaksanaan hudud?” soalnya.