Sekumpulan anggota akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu mempertikaikan pendirian rasmi pemimpin parti itu yang tidak menyokong tindakan PAS untuk membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen.
Mereka mendakwa keputusan pemimpin PKR itu lebih berlandaskan kepada kepentingan mengekalkan kuasa yang dimiliki tanpa mengambil kira hasrat dan aspirasi anggota parti.
Naib Ketua PKR cabang Rasah, Negeri Sembilan, Norizam Yassin mendakwa anggota akar umbi PKR sebenarnya sebulat suara menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
“Sebagai umat Islam tanpa mengira ras dan keturunan, kita perlu bangkit mempertahankan kesucian agama Islam daripada diasak bertubi-tubi oleh beberapa pihak yang melihat isu hudud ini sebagai agenda politik,” katanya.
Sementara itu, anggota PKR cabang Shah Alam, Datuk Hussein Ahmad pula berkata dakwaan PKR yang mengatakan PAS telah membuat keputusan ‘unilateral’ dalam isu hudud sehingga bercanggah dengan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini hanya satu ‘alasan’ mudah.