> Ketika kapten pesawat malang itu bergelut untuk memasuki kokpit semula penumpung tidak sedar apa yang sedang berlaku
> Mereka hanya menyedari nasib mereka sebaik sahaja melihat pesawat sudah hampir menyembah bumi
> Pembantu juruterbang yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat itu tenang sehingga ke saat akhir
> Dia tidak berkata walau sepatah perkataan pun ketika dihubungi Menara Kawalan malah bernafas dengan normal
> Kematian akibat impak berlaku dalam sekelip mata, tiada mayat yang ditemui sempurna sifat
MARSEILLE: Kapten pesawat Germanwings Airbus A320 yang terhempas di Pergunungan Alps, Perancis dua hari lalu telah didapati cuba memasuki semula kokpit dengan memecahkan pintu menggunakan kapak setelah pembantu juruterbang enggan membukanya tetapi dia gagal menyelamatkan keadaan, demikian lapor sebuah akhbar Jerman pada Jumaat.
Pembantu juruterbang pesawat itu, Andreas Lubitz, 28, telah dikenalpasti sebagai orang yang bertanggungjawab dalam nahas tersebut tetapi motifnya menjatuhkan pesawat itu dengan segaja masih tidak diketahui.
Setakat ini, pasukan penyiasat cuma mengetahui yang dia mempunyai latarbelakang depresi dan pernah berhadapan dengan tekanan sehingga menyebabkan dia mengambil cuti enam bulan daripada latihan penerbangannya.
Pihak penyiasat juga mendapati yang dia sedang berhadapan dengan masalah kemurungan setelah berpisah dengan kekasihnya baru-baru ini.
Lubitz kini telah didapati dengan sengaja memandu pesawat Airbus A320 itu menjunam sehingga menghentam lereng Pergunungan Alps dalam tempoh lapan minit selepas kapten pesawat berkenaan keluar meninggalkan kokpit untuk ke bilik air.
Ketika kapten meninggalkan kokpit, dia telah mengunci pintu kokpit dari dalam dan tidak memperdulikan jeritan kapten supaya membuka semula pintu tersebut. Dia juga tidak memberikan sebarang reaksi atau menjawab apa-apa.
Kesemua 150 orang di dalam pesawat tersebut terbunuh. Pesawat itu menghentam pergunungan tersebut dengan kelajuan 700km sejam.
Dalam perkembangan terbaru, Jumaat, sebuah akhbar Jerman, Bild melaporkan bahawa mereka memperolehi maklumat yang Kapten Patrick Sondenheimer cuba menggunakan kapak dalam usahanya untuk memecah masuk ke dalam kokpit semula selepas permintaannya supaya pintu dibuka tidak diendahkan.
Akhbar itu memetik sumber-sumber dalaman Germanwings sebagai mengesahkan yang pesawat berkenaan memang membawa kapak keselamatan.