PEMBANTU juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz memberitahu bekas kekasihnya bahawa dia merancang untuk melakukan jenayah kejam yang boleh menyebabkan dirinya diingati selamanya.
Perkara itu didedahkan oleh bekas kekasih Lubitz pada kepada sebuah akhbar Jerman, Bild pada malam Jumaat.
Bekas kekasih itu yang namanya tidak didedahkan berkata Lubitz sering terjaga dari mimpi ngeri dan menjerit ‘kita akan terhempas”.
Malah wanita tersebut berkata Lubitz pernah memberitahunya pada tahun lalu bahawa dia mahu melakukan sesuatu yang luar biasa.
“Satu hari nanti, saya akan melakukan sesuatu yang akan mengubah kesemua sistem dan kemudian mereka akan ketahui nama saya dan mengingatinya,” dakwa wanita itu.
Sebaik sahaja bekas teman wanitanya menerima berita insiden nahas pesawat Germanwings 4U9525 pada Selasa dia teringat kembali kata-kata yang pernah diungkapkan lelaki itu.
“Saya tidak pernah terfikir mengenainya tetapi sekarang ia masuk akal,” katanya kepada Bild.
Wanita tersebut memberitahu dia meninggalkan Lubitz kerana takut dengan perlakuannya yang tidak menentu.
Pasangan tersebut menjalin hubungan cinta selama tujuh tahun dan tinggal di sebuah rumah flat di pinggir Dusseldorf.
Terdapat laporan yang mendakwa mereka sudah bertunang dan merancang untuk berkahwin pada tahun depan.