Sebuah video telah muncul, menunjukkan mendiang Karpal Singh menyuarakan kekecewaannya terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang lain yang tidak berdiri bersama beliau dalam menentang hudud.
“Apabila datang kepada undang-undang hudud, tiada siapa yang menyokong saya. Sama ada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau orang lain. Ia memalukan. Mereka perlu juga bertaubat,” kata peguam veteran itu dalam video tahun 2009.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu kekal sebagai seorang yang lantang menentang hudud, yang menentukan hukuman di bawah undang-undang Islam sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun lepas.
Datuk Seri Ti Lian Ker berkata adalah jelas bahawa veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ‘tidak seikhlas’ rakan pemimpin mereka itu apabila menentang hudud yang ingin dilaksanakan PAS.
“Bagi Karpal,’langkah mayat saya’ dulu kerana beliau sedar dengan tipu muslihat PAS, manakala bagi Lim Guan Eng pula, ‘biarkan ia diluluskan dulu’,” kata pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA itu.
Beliau berkata ini kerana Guan Eng tahu DAP memerlukan sokongan PAS untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan.
Lian Ker berkata minda Karpal tidak kabur atau dicemari oleh keinginan yang sama.
Merujuk kepada perkara ini, beliau berkata DAP telah mengubah matlamat daripada mahu menjadi pembangkang yang kuat kepada parti yang mahu memerintah, walaupun ia bermakna ‘bekerjasama dengan PAS’ dalam kes melibatkan seorang bapa dan anak lelakinya.