NEPAL: Kerajaan Nepal telah mengisytiharkan darurat setelah gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter melanda negara tersebut.
Menurut pihak polis, seramai hampir 1,400 orang yang dikenal pasti terkorban dalam gempa bumi yang menggegarkan kawasan di 80 km arah timur Pokhara, kira-kira pertengahan jalan antara bandar tersebut dengan bandar Kathmandu.
Jumlah mangsa yang terkorban dijangka meningkat apabila skala bencana mendapat gambaran lebih jelas.
Menurut laporan, seramai 634 orang telah terkorban di lembah Kathmandu manakala 300 lagi terkorban di kawasan bandar.
Bagi negara-negara berdekatan, 36 kematian dilaporkan di India, 12 kematian di Tibet dan empat di Bangladesh.
Gempa bumi tersebut juga memusnahkan beberapa bangunan bersejarah termasuk Kuil Warisan Dunia UNESCO di Basantapur Durbar Square dan menara Dharara yang terletak di tengah-tengah Kathmandu.
Terdapat laporan menyatakan seramai 250 orang mungkin berada di dalam menara Dharara semasa bangunan tersebut runtuh dan sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan terperangkap dalam kuil bersejarah itu semasa kejadian gempa bumi berlaku.
Askar dan pihak polis yang menerima bantuan daripada orang ramai meneruskan operasi menyelamatkan mangsa gempa bumi sejak pagi Sabtu.
Ribuan warga Nepal mencari tempat perlindungan di kawasan lapang kerana bimbang jika kejadian itu berlaku semula.
Pusat gempa bumi terletak 80 km sebelah barat laut dari Kathmandu dan merupakan lembah yang padat dengan penduduk hampir 2.5 juta orang dan peraturan-peraturan bangunan buruk dikuatkuasakan.
Agensi berita melaporkan, terdapat kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kem asas Gunung Everest dan seramai sepuluh orang dipercayai terkorban manakala pendaki-pendaki lain masih terperangkap.
Pendaki gunung dari British, Kenton Cool menerangkan sukar untuk pihak penyelamat meneruskan operasi dalam cuaca yang buruk.
“Ini adalah musim untuk mendaki dan terdapat kira-kira hampir 1000 orang yang mendaki Gunung Everest.
“Agak sukar untuk para penyelamat membantu para pendaki kerana cuaca yang buruk.
“Keadaan tanah di sana akan menyukarkan para penyelamat untuk menyalurkan rawatan perubatan yang diperlukan serta mengeluarkan orang medivac dari kawasan itu,” kata Cool.
Laporan daripada Kajian Geologi Amerika Syarikat menjelaskan gempa bumi itu berlaku pada 11.56 malam waktu tempatan dan melaporkan pusat gempa bumi sedalam 2 km.
Beberapa saksi memberitahu gegaran gempa bumi itu dirasai di bandar-bandar di utara India manakala Pemberita Al-Jazeera di New Delhi melaporkan gegaran itu turut dirasai di sekitar Ibu negara India.
Wakil pihak India melaporkan sekurang-kurangnya 34 orang maut di kawasan Bihar dan Uttar Pradesh.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi India, Laxman Singh Rathore berkata kesan gempa bumi juga dirasai di keseluruh kawasan utara India.
“Gegaran itu boleh dirasai di seluruh kawasan utara India dan di timur kawasan Uttar Pradesh.
“Kawasan-kawasan seperti Bihar dan rantau Himalaya di Sikkim juga merasai gegaran yang sama kuat,” kata Rathore.
Berita terdahulu:
KATHMANDU: Angka kematian akibat gempa bumi kuat 7.9 pada skala Richter di Nepal semakin meningkat dan terkini mencecah hampir 900 orang.
Setakat ini, bencana itu juga mengakibatkan kemusnahan bandar ini dan juga menyebabkan berlakunya gelinciran tanah di Pergunungan Everest.
Jurucakap polis memaklumkan 876 penduduk dikhuariti maut dalam kejadian yang berlaku pada petang Sabtu itu.
“Lebih ramai lagi dipercayai terkorban, manakala kerosakan harta benda juga dijangka lebih teruk apabila gempa bumi itu melanda seluruh Nepal,” kata Timbalan Ketua Misi Kedutaan Nepal di New Delhi, Krishna Prasad Dhakal.
Sementara itu, Pihak Pengurusan Bencana Nepal, Ram Narayan Pandey pula berkata, sebahagian besar kawasan di negara ini telah terputus hubungan.
Pada kejadian gempa bumi pada 1934 dengan ukuran 8.3 skala richer, lebih 8,500 penduduk Nepal terkorban.
Setakat ini, jumlah kematian di bandar utara India adalah 12 orang, termasuk enam terkorban apabila rumah mereka di Uttar Pradesh runtuh.
Bencana itu juga mengakibatkan menara di bandar ini runtuh dan rosak teruk dan menyebabkan kira-kira 50 orang terperangkap.
Menara Dharara dibina pada 1832 adalah mercu tanda yang menarik kehadiran pelancong sejak 10 tahun lalu kerana ia mempunyai ruang tinjau.
Akibat keruntuhannya, menara yang asalnya setinggi bangunan 14 tingkat itu kini hanya tinggal 10 meter sahaja.
Selain itu, hospital di sini juga dipenuhi dengan orang ramai yang mendapatkan rawatan akibat cedera dalam kejadian itu.